Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah berakhir 18 tahun yang lalu. Dasar yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak. Walaupun begitu, ianya masih diperkatakan oleh ramai orang. Para pengkritik melihat dasar yang bertujuan untuk menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan ini sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap kaum-kaum bukan Melayu. Ramai juga yang melihat dasar ini sebagai batu halangan kepada persaingan bebas dan pemesatan ekonomi pasar. Bagi sebilangan orang Melayu sendiri, mereka melihat DEB sebagai pemangkin mentaliti lapuk yang menghalang mereka untuk maju setanding dengan bangsa-bangsa lain. Malah, kini amalan rasuah dan salah guna kuasa juga dikaitkan dengan DEB.
Ketika dasar ini diperkenalkan 37 tahun yang lalu, tujuan utamanya ialah untuk mewujudkan perpaduan nasional. Ia dapat dikecapi apabila identiti sesuatu kaum tidak lagi dikaitkan dengan fungsi ekonominya. Akan tetapi pada hari ini DEB dilihat sebagai penghalang kepada perpaduan nasional. Pendek kata tidak ada satu pun yang baik tentang dasar ini, walaupun ramai juga orang Melayu dan bukan Melayu yang telah mendapat manfaat daripadanya.
Saya yakin bahawa pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan perpaduan nasional. Apabila ekonomi tumbuh pesat dan hasilnya diagih secara adil, semua kaum akan mendapat manfaat dan perpaduan nasional menjadi lebih realistik. Justeru, perkara pokok yang perlu diberi perhatian oleh para politik dan teknokrat di negara ini ialah memastikan pertumbuhan ekonomi negara sentiasa berada pada tahap yang selesa supaya isu-isu yang boleh mengusik kesensitifan masyarakat tidak berbangkit di masa hadapan.
KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
1 comment:
DEB yang menjaga Ketuanan Melayu di negara yang bertuah ini sehingga kini.Hidup Umno! Hidup Pemuda Umno Setiawangsa!
Post a Comment