Thursday, December 18, 2008

DR MAHATHIR SATU FENOMENA

Dapat disimpulkan bahawa Dr. Mahathir, biar apa pun gelaran yang diberikan oleh sesiapa saja, adalah seorang tokoh yang mendapat perhatian umum dan cukup luas audiennya, bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Dalam konteks Malaysia, beliau telah melakukan satu anjakan paradigma penting dalam bidang ekonomi yang mengesankan kehidupan setiap rakyat Malaysia. Beliau telah merubah wajah ekonomi Malaysia daripada bergantung kepada komoditi utama, seperti bijih, getah dan kelapa sawit, kepada yang berorientasikan pengeluaran industri untuk eksport. Dalam bidang pengeluaran industri ini pula Malaysia tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran dan eksport barangan yang menggunakan teknologi rendah dan sederhana seperti industri membuat pakaian, bahan elektronik dan lain-lain tetapi juga yang menggunakan teknologi tinggi seperti industri automobil, ICT dan aeroangkasa.

Limpahan ekonomi daripada anjakan paradigma ekonomi ini telah dirasakan oleh rakyat Malaysia dengan meningkat berlipat gandanya pendapatan per kapita daripada sekitar AS$800 ke AS$3,000 dalam tempoh dua dasawarsa. Loncatan pendapatan per kapita inilah yang dijadikan bahan bualan dan pujian, malah menimbulkan semacam rasa ajaib, di kalangan pimpinan negara-negara Dunia Ketiga, OIC, dan juga pimpinan negara maju G7 serta badan-badan dunia seperti Bank Dunia dan IMF. Kejayaan ekonomi ini pastinya telah melibatkan pembentukan rangkaian hubungan bilateral dan multilateral dalam bidang ekonomi dengan pelbagai negara di dunia dan juga dengan gergasi-gergasi syarikat multinasional global.

Berlandaskan hubungan ini dan juga kejayaan yang dicapai telah memungkinkan beliau menerobos ke arena politik antarabangsa. Beliau telah memprofil Malaysia, di pentas politik global, sebagai sebuah middle-range power, justeru melipat gandakan kegiatan Malaysia dalam ASEAN, APEC, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Mesyuarat ASEAN-Eropah (ASEM) dan akhir-akhir ini OIC. Melalui platform wacana Selatan-Selatan dan Dialog Antarabangsa Langkawi beliau bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai sebuah kuasa politik bahkan juga sebagai satu model pembangunan ekonomi yang boleh dijadikan ikutan.

Sememangnya sumbangan Dr. Mahathir dalam pembentukan ekonomi Malaysia tidak dapat dinafikan. Sumbangan beliau ini dianggap sebagai satu fenomena yang diharapkan menjadi ikutan pemimpin Malaysia seterusnya malah menjadi pemangkin dalam memacu negara ke arah negara cemerlang, gemilang dan terbilang.



KHAIRUL IDZWAN IDRIS


Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan


1 comment:

Anonymous said...

DR.MAHATHIR,
tiada pegantinya..
menbangunkan bangsa niat utama..
meraih perhatian dunia dengan akalnya..
mentadbir negara dengan jayanya !
SYABAS DR.MAHATHIR .