Kita diwar-warkan tentang cadangan pemilikan Institut Jantung Negara (IJN) oleh syarikat swasta Sime Darby baru-baru ini.
Alasan yang diberi ke atas cadangan tersebut, adalah kerana terlalu ramai doktor yang meninggalkan IJN untuk bekerja di hospital-hospital swasta. Namun kenyataan ini menyembunyikan fakta yang ramai doktor lama bertaraf Profesor dan 'Guru' bedah jantung masih kekal gembira di IJN. Mereka cukup matang dan sudah pun mengecapi kehidupan hidup yang lumayan. Justeru melihatkan khidmat mereka di IJN, adalah sebagai kesempatan mencurah budi kepada rakyat dengan merawat sambil mengajar sekaligus mendalami kepakaran tersendiri.
Keadaan di mana doktor ramai berpusu-pusu, berbaris untuk berkhidmat di IJN menggambarkan IJN tidak pernah ketandusan doktor pakar. Yang ramai meninggalkan IJN itu merupakan anak didik mereka yang masih tercari-cari rezeki lumayan. Namun begitu, ada segelintir doktor muda dikalangan yang terbaik di IJN masih kekal disamping guru-guru mereka, berkhidmat, mengejar kepuasan fikiran tanpa mementingkan wang ringgit.
Ada juga mempersoalkan kenapa IJN, yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir untuk memberi khidmat rawatan jantung kepada masyarakat miskin kini ingin dijual ke pihak swasta yang usahanya memerah setiap sen keuntungan dari 'pelanggan'. Wajarkah kita mengharapkan syarikat swasta ini, walaupun ianya Sime Darby, sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), untuk memberi khidmat masyarakat yang begitu besar sekali? Inilah persoalan yang perlu djawab.
Lantaran itu, saya berharap benar dengan bertunjangkan portfolio sebagai Menteri Kewangan Malaysia dan pemegang ijazah industrial economic, Univerisiti of Nottingham, Dato’ Seri Najib Tun Razak bukan sahaja menangguhkan tapi dapat memberhentikan terus cadangan yang kurang wajar ke atas pemilikan ini oleh Sime Darby kerana ia mampu memincangkan agenda kemasyarakatan Barisan Nasional. Kekalkanlah IJN di tangan kerajaan untuk kepentingan masyarakat termiskin.
KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment