Wednesday, December 24, 2008

BUDAYA FRANCAIS DI MALAYSIA

Industri francais tempatan akan terus berkembang walaupun pendapatan boleh guna dijangka lebih rendah berikutan kemelesetan ekonomi global. Ini berikutan pertumbuhan jualan industri francais yang memberangsangkan dan konsisten, iaitu sebanyak 15 peratus sejak beberapa tahun yang lalu. Malah pada tahun 1998 sewaktu Malaysia mengalami kegawatan ekonomi, kadar pertumbuhan perniagaan francais pada tahun itu meningkat sebanyak 3% disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu itulah sebenarnya membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk menceburi dalam bidang francais.

Di Amerika Syarikat, perniagaan Francais telah membawa peningkatan pertumbuhan ekonomi negara itu dengan menyumbang 50% hasil di dalam ekonomi peruncitan. Selain itu, melalui perniagaan francais, ia juga telah menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyatnya sekitar 10 juta pekerjaan.

Dengan kelembapan ekonomi yang dijangka berlaku pada masa hadapan, nilai export negara mungkin berkurangan. Ini disebabkan oleh kemelesetan ekonomi yang dilalui oleh 10 negara pengimport terbesar barangan keluaran Malaysia yang menyumbang 80% nilai eksport negara.

Setakat ini, berdasarkan Unjuran RMK9, sebanyak RM300 juta disediakan untuk melahirkan sasaran sebanyak 50 francaisi dan 1000 francaisor di Malaysia. Pelbagai badan-badan kerajaan telah diwujudkan misalnya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), MATRADE, SME Bank dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC). Badan-badan ini diwujudkan untuk membantu para usahawan dalam bentuk teknikal, latihan mahupun kewangan.

Kini, terdapat 20 perniagaan di Malaysia telah memasuki pasaran global. Kita telah memperlihatkan banyak sistem francais tempatan seperti Marrybrown, Secret Recipe, Smart Reader, Daily Fresh dan 1901 hotdogs berjaya menembusi pasaran antarabangsa, dan lebih membanggakan ada di antaranya telah berjaya merangkul anugerah di peringkat antarabangsa.

Misalnya, Secret Recipe yang memenangi Anugerah Francais Terbaik 2007 telah dikalungkan sebagai ”Best International Franchisor of The Year” di Franchising & Licensing Award 2007” di Singapura; manakala pemenang Francais Terbaik 2006 Smart Reader Worldwide telah memenangi ”International Star Award for Quality 2007” di Geneva, Switzerland, dan baru-baru ini memenangi “International Quality Summit Award 2008” di New York, AS, dan juga “Most Outstanding Pre-school Franchise Award Philippines 2008”.

Ini menunjukkan bahawa usahawan-usahawan tempatan sebenarnya mampu menghasilkan produk-produk yang setanding dengan standard antarabangsa. Semangat ‘Glokal’ inilah yang kita galakkan kerana ia akan memberi inspirasi kepada sistem francais yang lain terutama sekali penggiat baru. Syabas Malaysia.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

No comments: