Tuesday, December 2, 2008

RENUNGAN BERSAMA

Seperti yang kita maklum dalam dunia ini harta adalah nadi kehidupan jasmani, sebagaimana Agama nadi kehidupan rohani. Harta adalah rebutan dan keperluan manusia. Apabila tidak diukur dengan ukuran syara’ ia akan menjadi racun. Manusia sanggup berlumba-lumba untuk menghasilkan harta dan menghimpunkan-nya. Baik buruknya usaha mereka bergantung kepada tujuan dan sumber harta digunakan. Harta bagi orang yang beriman merupakan nikmat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 274 :

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُم بِٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ سِرًّ۬ا وَعَلَانِيَةً۬ فَلَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ

Yang bermaksud : “ Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang dengan secara senyap-senyap atau terang-terangan maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Jelas di dalam ayat di atas mereka yang menggunakan harta dengan jalan yang sebaiknya akan mendapat pahala di sisi Allah. Harta yang ada pada kita, boleh dimanfaatkan untuk pendidikan, pembangunan modal insan atau apa-apa sahaja yang dapat meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat dan menjana kekuatan ekonomi ummah. Manakala untuk orang yang membelanjakannya di atas jalan yang menyalahi syara’ satu penyesalan bagi mereka kerana tidak meletakkannya pada tempat yang sebenar. Islam menggalakkan umatnya supaya memakmurkan bumi ini, dengan itu kehidupan manusia menjadi mudah dan mudah pula untuk menunaikan hak Allah dan Rasul-Nya. Ini terbukti melalui satu Hadis;

عَنْ اَنَسْ بِنْ مَالِك قَالَ قَالَ رَسُوْلُ الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَمْ : اِنْ قَامَتِ السَّاعَةُ وَبِيَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيْلَةٌ فَاِنِ اسْتَطَاعَ اَنْ لاَّ يَقُوْمَ حَتّى يَغْرِسَهَا فَلْيَفْعَلْ

Yang bermaksud : “ Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila berlakunya kiamat dan di tangan kamu ada sepohon benih pokok kurma jika dia berkuasa, janganlah bangkit sehingga dia menanamkannya maka hendaklah dia menanamkannya”.

Hadis Riwayat Ahmad di atas menunjukkan Islam menggalakkan kepada kita supaya kita memakmurkan bumi ini. Salah satu caranya ialah dengan memperkukuhkan sektor ekonomi. Pentingnya sektor ini kerana negara yang mempunyai ekonomi yang kukuh lebih disegani dan digeruni berbanding dengan negara yang lemah ekonominya.

Untuk memantapkan lagi ekonomi, kita harus mengikut lunas-lunas syara’. “الإقتصاد” yang bererti ekonomi berasal daripada kalimah qasad yang bererti lurus atau adil. Maka jelaslah kepada kita bahawa Islam membawa prinsip adil dan saksama dalam ekonomi. Sementara ekonomi kapitalis yang dibawa barat lebih mementingkan kepada individu bukan masyarakat, sebab itu wujudnya jurang yang besar antara kaya dan miskin, sedangkan ekonomi yang berasakan Islam lebih kepada membantu musyarakah. Islam mengharamkan riba kerana jelas menjadikan orang yang kaya bertambah kaya dan orang miskin bertambah miskin. Oleh itu, usaha-usaha untuk mewujudkan sistem kewangan Islam adalah usaha yang sangat murni.

Sistem perbankan Islam, pajak gadai Islam dan insuran takaful merupakan antara sistem kewangan Islam yang ada dalam negara kita. Ekonomi yang berlandaskan syariat ini semakin menjadi rebutan samada yang Islam atau yang bukan Islam. Bahkan ada di kalangan negara maju telah mula mengikut jejak langkah kita. Keutuhan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada dua perkara penting: kekuatan fizikal, mental dan material serta amanah dan bertanggungjawab samada dengan Allah atau dengan manusia. Ini terbukti melalui sifat mulia yang ada pada nabi Musa AS seperti Firman Allah dalam surah al-Qashas ayat 25:

Maksudnya : “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayahku, ambillah dia (Nabi Musa) menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.”

Kita sesungguhnya jangan lupa pada peristiwa yang berlaku kepada orang Islam di Mekah sebelum Hijrah. Kaum Musyirikin telah membuat sekatan ekonomi terhadap orang-orang Islam, selama 3 tahun, sehingga mereka terpaksa memakan daun-daun kayu. Oleh yang demikian, kita seharusnya bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan ekonomi selagimana tidak melanggar syara’, kerana keteguhan ekonomi akan menjana kekuatan ummah.

Kita perlulah sama-sama menyokong dan melibatkan diri dalam sistem ekonomi Islam, kerana ianya terbukti membawa keadilan di dalam masyarakat dan mengelakkan daripada penindasan. Sokongan dan penglibatan ini merangkumi peningkatan kefahaman dan pengetahuan umat Islam supaya mereka dapat mencebur dalam bidang ekonomi, sepertimana yang telah dilakukan oleh umat Islam terdahulu. Insyaallah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS


Timbalan Pengerusi

Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

2 comments:

Anonymous said...

Hi Mr Idzwan,
Tremendous effort to make changes.
Good job and appreciate with your continuos ideas.
proud of u (",) strike the best PEMUDA UMNO SETIAWANGSA !

Anonymous said...

Assalamualaikum...
Alhamdulillah..masih wujud seorang insan yang bergelar Pemuda UMNO Setiawangsa yang bernama Khairul Idzwan Bin Idris..Seorang Pewaris Agama..Bangsa dan Negara yang masih mengekalkan nilai2 agama di dalam mencari kekayaan di dunia yang telah Allah s.w.t turunkan kepada setiap manusia...
awk juga menyedarkan manusia bahawa jgn kite lupe pdNya..kerane setiap sumber Kekayaan di dunia ini datangnya dr Tuhan yang satu..tidak kite apapun agamanya..yang penting berusaha..dan jangan mudah tamak, mempunyai hasad dengki, iri hati dan lupa diri kerana tuhan akan tarik semula segala nikmat yang di beriNya..bersainglah secara sihat jika kite ingin mengecapi Kekayaan di dunia dan akhirat...
Sy berbangga masih ada pemikiran orang muda yang ingin membuat perubahan kpd orang melayu yang lupa dan leka "ape yang menanti di hujung perjalanan kehidupan".
Sekali lagi Tahniah! Semoga kita sama2 boleh berganding bahu menjadi 'pewaris bangsa' di masa akan datang..yang akan membuat perubahan kpd orang melayu dan juga dapat membuka minda mereka...bahawa 'Sedarlah bangsaku Perjuangan Kita Belum Selesai'.
Teruskan Perjuangan..Walau di hadapanmu bahaya yang mendatang..I Proud of U...

-KPCJP-