Tuesday, March 17, 2009

INTELEKTUAL DAN PEMBACAAN

Pembacaan buku-buku tebal atau nipis di perpustakaan-perpustakaan universiti atau di tempat-tempat lain dengan tujuan untuk lulus peperiksaan bukanlah kerja intelektual. Itu cuma lanjutan dari pembacaan di tingkatan tiga dan lima untuk lulus dalam PMR dan SPM. Untuk sampai ke tingkat intelektual bukanlah pembacaan saja jalannya. Akan tetapi pembacaan selalu penting, sehingga seseorang yang tidak suka membaca tidak mungkin digelar intelektual. Walaupun istilah intelektual tidak didefinasikan di sini, tetapi secara umum orang telah memahaminya. Kalaupun kita tidak sepakat untuk menggolongkan seseorang dalam golongan intelektual, rasa-rasanya jarang yang menolak jika kita menyebut nama-nama Prof. Syed Muhammad Naquib al Attas, Prof. Diraja Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir, Prof. Ustaz Uthman El Muhammady dan beberapa orang lagi sebagai termasuk ke dalam golongan intelek.

Seorang intelek mungkin ahli politik, mungkin ahli bahasa, ahli ekonomi, ahli falsafah, ahli budaya dan banyak lagi. Mereka akan membaca dengan banyaknya bahan-bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang masing-masing. Di samping itu, mereka membaca juga bahan-bahan bacaan dari bidang lain, kerana seorang intelek cenderung meluaskan pengetahuannya. Itulah sebabnya kita kerap mendapati seseorang yang dianggap intelek itu menguasai lebih dari satu bidang ilmu.

Sebenarnya tidak mudah menguasai sesuatu bidang ilmu. Kita bertolak dari keadaan tidak tahu kepada mengenali, memahami dan barulah menguasai. Pembacaan sambil lewa memungkinkan seseorang mengenali sesuatu bidang ilmu, manakala pembacaan yang betul-betul tekun mengarah kepada penguasaan bidang itu. Seseorang tidak boleh bergelar intelek jika tidak menguasai sesuatu bidang ilmu. Kalau dia menguasai bidang yang khusus, dan tidak mengetahui bidang lain, dia tidak juga seorang intelek.

Golongan intelektual adalah kebanggaan bangsa. Pencapaian ilmu mereka tidak hanya untuk diri mereka sendiri, tetapi untuk masyarakat bangsanya. Sumbangan yang utama dari mereka tentulah berupa pemikiran. Dan pemikiran itu datangnya dari pembacaan yang luas, selain dari faktor-faktor yang diperolehi dari pengalaman hidup mereka.

Saya kira, jika terdapat dikalangan kita yang mengakui dirinya intelek, tapi tidak berminat membaca, maka anggapannya pasti silap. Sedangkan orang yang membaca juga sukar mencapai tingkat intelektual, inikan pula orang yang tidak membaca.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan


1 comment:

Pena Hitam said...

Bagi menjadi seorang pemimpin kite perlulah menjadi seorang intelektual dan minat kepada pembacaan.Sekarang ini, kita dapat melihat ramai golongan pemimpin pemuda Umno diperingkat bahagian dan cawangan bukan datangnya daripada golongan ini.

Saya sebagai penganalisis politik, melihatkan perubahan ini.Dahulunya, sayap Pemuda Umno itulah tempat lahirnya golongan-golongan intelektual misalnya Tun Dr Mahathir,Tun Daim Zainuddin,Tun Musa Hitam,Tun Dr Ismail dan ramai lagi.Masyarakat dahulunya memilih golongan-golongan intelektual ini untuk memimpin mereka kerana mereka tahu melalui pendidikan dan pemikiran intelektual sahaja yang dapat mengubah nasib rakyat.

Tetapi kini,apa yang dicari oleh masyarakat untuk seseorang itu dipilih menjadi seorang pemimpin sama sekali telah berubah.Bukannya intelektual dan pendidikan menjadi kayu ukur untuk menjadi pemimpin.Saya begitu hairan akan perkara ini.Sedangkan kini negara melalui era globalisasi yang mementingkan pendidikan, tetapi lain pula halnya dengan pemilihan golongan pemimpin Pemuda.