Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin bukanlah mudah. Sama ada ia menjadi seorang pemimpin persatuan atau pertubuhan yang kecil atau besar, pemimpin jabatan kerajaan atau swasta, pemimpin negeri atau negara, tugasnya sebagai pemimpin adalah sama. Ia seharusnya mempunyai sifat bertanggungjawab, dedikasi, rasional, amanah, bersih dan cekap dalam menjalankan tugasnya itu. Ia wajib tahu bahawa tugasnya ialah untuk memimpin organisasinya atau orang-orang bawahannya untuk mencapai matlamat yang telah ditentukan. Sebagai seorang ketua yang telah diamanahkan dan diberi kepercayaan oleh organisasinya atau orang-orang bawahannya, maka pemimpin itu mestilah menjadikan tugasnya sebagai satu tanggungjawab yang berat yang mesti dipikul dan dilaksanakan dengan sempurna. Jika ia tidak dapat memikul tanggungjawab itu atau gagal menjalankan tugasnya sebagai seorang pemimpin, maka ia bukanlah seorang pemimpin yang baik.
Jadi, untuk menjadi seorang pemimpin, pemimpin-pemimpin dikalangan mahasiswa haruslah melengkapkan dirinya bukan sahaja dengan segulung ijazah sebagai passport untuk diangkat sebagai pemimpin tetapi harus juga mempunyai akhlak dan moral yang tinggi, latihan, pengalaman dan kecekapan dalam bidang yang akan dipimpin nanti di samping mempunyai rasa tanggungjawab bukan sahaja kepada tugas tetapi juga kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Sifat-sifat yang telah dinyatakan tadi perlu ada kepada seorang pemimpin. Apabila seseorang itu telah menjadi seorang pemimpin, diharapkan janganlah ia menyalahgunakan kuasa yang telah diberikan kepadanya oleh organisasinya atau orang-orang bawahannya untuk kepentingan diri sendiri. Janganlah ia bersikap angkuh dan sombong. Sebagai seorang pemimpin, ia perlu bertindak secara rasional di samping berhubung baik dan bekerjasama dengan orang-orang bawahannya supaya perhubungan sedemikian akan membuahkan hasil yang dicitakan bersama. Memang kita mengakui akan kepentingan kerjasama amat diperlukan dalam apa bidang yang kita lakukan. Akhir sekali, ditegaskan di sini bahawa kejayaan atau kegagalan sesuatu organisasi dalam mencapai tujuan yang telah ditentukan adalah bergantung atas kemampuan para pemimpinnya.
KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
1 comment:
Masih adakah pemimpin Umno yang bertanggungjawab dan berdedikasi lagi dikala kini?bertanggunjawab dari segi lebih mementingkan hak dan kepentingan rakyat dari kepentingan diri sendiri.
Post a Comment