Friday, February 6, 2009

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN BUMIPUTERA (MPPB)

Sepertimana dalam bidang politik yang mana politik UMNO (Melayu) menjadi teras kestabilan politik Malaysia, kerajaan dalam kesinambungan DEB melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) berhasrat mewujudkan MPPB ini sebagai teras ekonomi dan perdagangan negara. Suasana politik yang stabil dengan pembangunan infrastrukur yang komprehensif dan sokongan logistiks yang canggih terutama dalam bidang telekomunikasi telah menarik ribuan juta pelabur asing ke Malaysia.

Namun dalam perancangan jangka panjang, kerajaan berhasrat membentuk MPPB ini supaya dapat ditingkatkan keluaran industri tempatan (Indigenous Industrialists) yang bersifat kekal dan taat setia kepada negara. Matlamat kita ialah barangan atau keluaran dari rakyat Malaysia daripada kilang Malaysia, teknologi hasil R&D tempatan untuk pasaran tempatan dan dunia yang diperdagangkan oleh rakyat Malaysia.

Siapa lagi kalau bukan lulusan-lulusan Universiti kita yang diharapkan menjadi teras MPPB ini? Oleh itu, wajarlah siswa-siswa kita mengubah sikap dari mencari kerja kepada menjadi usahawan, dari mengejar sekeping kertas diploma atau ijazah kepada pengamal ilmu yang dipelajari dari kampus dengan membuka syarikat-syarikat atau kilang-kilang kecil. Alhamdulilah, semakin ramai pensyarah-pensyarah dan siswazah-siswazah menceburi bidang perniagaan dan perkilangan.

Sesungguhnya itulah contoh terbaik dalam kelangsungan reformasi pendidikan negara kita. Mereka yang sudah mencapai ilmu tertinggi dalam bidang akademik dan professional perlu diransang supaya turun padang untuk mengamalkan ilmu masing-masing. Mereka sepatutnya tidak dibiarkan leka berkhayal di menara gading atau dalam tembok-tembok indah institusi penyelidikan sahaja. Mengamalkan ilmu tidak cukup dengan hanya membuka perniagaan sebagai ‘consultants’. Sekadar menjadi jururunding adalah terlalu selesa tanpa menghadapi risiko hutang bank atau penolakan produk baru dalam pasaran.

Dengan lain perkataan, peningkatan dalam revolusi pendidikan kita hendaklah memanjangkan daripada tradisi mengisi ilmu di dada kepada ilmu yang ada. Fikir-fikirkan.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

No comments: