Tuesday, February 17, 2009

KEWANGAN ISLAM KALIS KRISIS?

Sistem kewangan Islam lebih selamat dan dipercayai dalam kalangan pelabur, khususnya ketika berhadapan dengan tidak ketidakpastian dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. Sebagai contoh, krisis ekonomi yang berlaku pada tahun 1998, iaitu ketika kadar faedah kebanyakkan bank konvensional terpaksa dinaikkan akibat masalah bank kekurangan tunai, mereka yang memilih untuk membuat pinjaman konvensional berasakan beban akibat kenaikan kos pinjaman mereka. Namun begitu, bagi individu yang membuat pinjaman Islam, mereka tidak terdedah dengan sebarang perubahan kadar faedah kerana semua syarat pinjaman dan pembayaran faedah telah sama-sama dipersetujui pada peringkat awal lagi.

Bagi bon Islam yang diterbitkan bersandarkan nilai sesuatu aset yang bernilai seperti hartanah dan dijadikan cagaran untuk terbitan bon terbabit, maka nilai dan harga bon Islam akan menjadi lebih stabil dan telus berbanding dengan bon konvensional yang biasanya diterbitkan tanpa apa-apa sandaran. Dalam erti kata lain, pelabur yang melabur dalam bon Islam secara langsung akan memiliki aset sandaran (real assets) yang telah dipersetujui. Sementara pelabur bon konvensional pula hanya melabur dalam aset berbentuk sehelai kertas (paper assets) yang tidak telus dan terdedah kepada risiko.

Undang-undang Islam menegah pembayaran faedah dan bagi mengelakkan ketidakpastian (gharar), setiap transaksi perlu disandarkan dengan sesuatu aset seperti hartanah atau komoditi. Jika firma yang mengeluarkan bon Islam gagal menebus semula bon mereka apabila sampai tempoh matang, maka pemegang bon Islam berhak mendapat semua aset yang disandarkan itu dan aset tidak jatuh ke tangan pihak bank.

Sesungguhpun begitu, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa risiko bon Islam sebenarnya tidak jauh berbeza daripada bon konvensional. Namun demikian, atas dasar bon konvensional yang mempunyai saiz pasaran yang jauh lebih besar dan mudah cair berbanding dengan bon Islam, maka potensi risiko yang wujud bagi bon konvensional adalah lebih besar dan boleh berlaku di mana-mana pasaran di seluruh dunia.

Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa pasaran bon Islam berjaya diselamatkan oleh masa kerana krisis subprima yang melanda Amerika Syarikat sejak tahun lalu, mulai reda sebelum sempat merebak ke pasaran di Asia Barat dan Asia Tenggara. Selain itu, struktur bon Islam yang dikatakan hampir menyamai bon konvensional juga menjadikan bon ini mudah terdedah kepada risiko kredit global. Selain itu, pelanggan dan penjual bon ini juga terdiri daripada pengurus dana dan bank konvensional yang berkuasa untuk memanipulasikan pasaran.

Seperkara yang menjadikan bon Islam unik dan tidak dimilki produk kewangan konvensional secara keseluruhannya adalah kerana wujudnya kepercayaan terhadap agama Islam, pengaliran besar dana petrodollar dan kekurangan bon Islam yang berkualiti tinggi di pasaran ketika ini. Kelebihan ini menjadikan produk kewangan Islam sentiasa mendapat sambutan dan terus berkembang jauh lebih menyakinkan berbanding dengan produk kewangan konvensional. Walau bagaimanapun, persoalan baharu yang timbul ialah sejauh manakah halalnya produk kewangan Islam ini jika kewujudannya (walaupun tidak semua) masih dikaitkan dengan produk serta idea konvensional? Tepuk dada, tanyalah selera.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

No comments: