Cara hidup ikram merupakan gabungan nilai-nilai murni bagi membentuk dan mencorakkan perkembangan karakter dan sahsiah individu. Oleh kerana individu adalah unit asas yang mendukung pembentukan keluarga dan kemudian komuniti, proses sosialisasi yang miskin dengan nilai-nilai murni akan hanya meninggalkan kesan buruk kepada perkembangan kehidupan individu terlibat seterusnya mengakibatkan bercambahnya patologi sosial dalam kehidupan bermasyarakat. Individu dan komuniti yang melalui liku-liku hidup yang tandus dengan budaya keikraman mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk kurang berjaya untuk mencipta kehidupan bermasyarakat yang sejahtera dan harmoni.
Dalam konteks kehidupan di bandar pula, gerak kehidupannya yang bertenaga, aktif dan pantas memerlukan anggota komuniti sentiasa bersaing untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka. Dalam konteks ini, tuntutan pekerjaan, hambatan masa dan kesibukan peribadi telah merantai mereka daripada memberi komitmen terhadap urusan kejiranan. Natijahnya sebahagian besar bersikap lepas tangan, mengasingkan diri dan tidak berminat untuk mengambil tahu. Bagaimanapun kualiti dan kesejahteraan kehidupan sebenarnya tidak hanya bergantung kepada pemilikan material dan kemewahan semata-mata. Individu tetap memerlukan kehadiran dan sokongan orang lain di sekitar mereka dalam menjalani kehidupan. Oleh itu, kejiranan ikram adalah merupakan suatu model alternatif bagi menghidupkan semula ikatan kejiranan bandar yang kini nampaknya semakin malap dalam kehidupan komunitinya. Kejiranan ikram diharap akan dapat menyumbang ke arah keharmonian, kekuatan dan pembangunan individu serta komuniti bagi mengatasi dan membendung pelbagai krisis yang disengsarai oleh masyarakat.
Perkembangan alaf baru menuntut agar komuniti dapat mengatur agenda perubahan dan adaptasi yang sesuai bagi memajukan tahap kehidupan. Perubahan adalah unsur yang penting dan tidak mampu untuk dihindari bagi mencorakkan masa depan masyarakat dan negara. Tetapi perubahan juga boleh membawa kemusnahan sekiranya nilai-nilai murni tidak dapat dipertahankan oleh anggota komuniti dalam keghairahan mengejar kemajuan dan kesenangan. Oleh itu, pilihan yang terbaik hanyalah membangun dan maju berlandaskan nilai-nilai murni dan kejiranan ikram adalah salah satu daripada kompenannya. Fikir-fikirkanlah.
KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
1 comment:
Kini masyarakat di bandar terutama dikalangan muda, tidak mencerminkan sifat kejiranan dan kemasyarakatan.Dengan kesibukan hidup di kota, mencari rezeki, membuatkan wargakota alpa akan kepentingan hidup bermasyarakat.
Apabila sifat kemasyarakatan tiada di dalam diri, maka akan wujudlah bangsa yang sombong, angkuh dan hilanglah budaya sopan santun dan hormat menghormati yang telah diwarisi oleh kita sejak dahulu kala lagi.
Maka apa yang diperkatakan oleh saudara pengarang perlulah dititikberatkan demi semangat ukhwah hidup bermasyarakat kini dan selamanya.
Post a Comment