Ada anggaran mengatakan seramai 200,000 pekerja sama ada sudah hilang pekerjaan atau tidak lagi mempunyai pekerjaan sepenuh masa atau tetap dan 100,000 lagi dalam ancaman. Pekerja yang hilang pekerjaan atau tidak lagi mendapat gajian penuh akan mencetuskan reaksi berangkai (chain reaction) – tiada pekerjaan tiada pendapatan, tiada pendapatan tiada perbelanjaan, tiada perbelanjaan tiada pengeluaran dan tiada pengeluaran kilang terpaksa ditutup menyebabkan lebih ramai lagi pekerja yang akan menganggur.
Anggaran pengangguran yang sangat membimbangkan ini wajib diberi perhatian kerana ia mungkin tepat. Ini kerana bukan semua pekerja berdaftar, bergaji tetap atau mempunyai majikan. Justeru itu adalah sangat penting ekonomi dalam negara (domestic economy) diberi rangsangan agar kepenggunaan boleh dikekalkan pada tahap yang tinggi kerana kepenggunaan (consumption) memberi kesan langsung kepada pengeluaran (production) dan seterusnya kepada guna tenaga (employment).
Dalam suasana ekonomi global yang lembap beginilah kerajaan perlu menambah perbelanjaan awam (public expenditure) bagi mengimbangi perbelanjaan sektor swasta yang berkurangan. Oleh itu, Pakej Rangsangan Ekonomi (Economic Stimulus Package) kedua perlulah dilaksanakan secepat mungkin. Pakej itu hendaklah cukup besar, dengan tujuan yang jelas dan memberi kesan yang juga jelas (large, purposeful and impactful).
Setiap ringgit dibelanjakan wajib dipantau pengalirannya agar sampai kepada matlamat yang dituju, iaitu rakyat jelata dan pengguna di peringkat paling bawah. Sebahagian peruntukan pakej kedua ini wajib ditujukan dan diberikan terus kepada pengguna, khasnya golongan terancam seperti ibu tunggal, rakyat miskin dan mereka yang menjaga ibu bapa yang tua.
Selain “memaksa” sistem bank yang nampaknya semakin enggan mengeluarkan pinjaman agar tidak menjadi kurang ajar, kerajaan wajar memikirkan kemungkinan mengambil alih tabungan sistem bank jika ia terus degil. Kerajaan juga boleh menambah kecairan dan mengurangkan lagi kos modal dengan mengeluarkan wang (dana) daripada pelbagai tabung pembangunan awam dan swasta seperti tabung tanam semula getah dan kelapa sawit, tabung penyelidikan, tabung pembangunan sumber manusia dan tabung pendidikan tinggi.
Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan dan bakal Perdana Menteri, memikul tanggungjawab yang sangat besar dan berat. Suka atau tidak, beliau perlulah mencari nasihat dan mengakui kepakaran dan pengalaman orang seperti Dr Mahathir, Daim Zainuddin, Thong Yaw Hong, Zeti Akhtar Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah, Mustapha Mohamed, Lin See Yan dan Ramon Navaratnam dalam menangani krisis ekonomi.
Apa yang menyebabkan ekonomi Malaysia nampak tidak menyerlah pada beberapa tahun kebelakangan ini berpunca daripada krisis keyakinan. Pelabur dan pengguna kurang yakin dengan dasar-dasar dan projek-projek kerajaan serta perlaksanaannya. Bagi Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak akan ada bulan madu atau waktu percubaan. Beliau terpaksa bertindak segera dan bekerja keras mengembalikan keyakinan umum terhadap pengurusan dan pentadbiran ekonomi negara.
Apa pun kedudukannya, kita semua amat berharap kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak terperangkap dalam kemelut politik sehingga lalai menangani krisis yang sangat menakutkan ini. InsyaAllah
KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
2 comments:
Kawan saya menyuruh saya melayari lama blog ini. Setelah membaca artikel-artikel yang ditulis oleh saudara pengarang, ini menunjukkan bahawa Umno tidak ketandusan golongan cendiakawan dan idealistik.
Segala yang ditulis amat bermanfaat dan berinformasi. Teruskan perjuangan dengan hasil nukilan seperti ini wahai saudara pengarang.Bawalah perubahan pada bangsa pada agama, bangsa dan parti.
Malaysia memerlukan stimulus pakej rangsangan ekonomi kedua.Harap kerajaan melaksanakannya secepat mungkin.
Post a Comment