Sunday, February 15, 2009

HIDUP UNTUK WANG ATAU WANG UNTUK HIDUP

Hidup untuk wang atau wang untuk hidup, satu persoalan yang menarik untuk direnung. Malahan, tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa persoalan ini merupakan satu persoalan fundamental yang mencorakkan kehidupan harian, terutamanya dalam suasana masyarakat moden hari ini.

Sekali pandang, persoalan ini merujuk kepada sama ada manusia hidup semata-mata untuk mendapatkan wang atau sebaliknya, menggunakan wang untuk hidup. Wang hanyalah angka-angka. Adakah manusia hidup bergelumang dengan, mengabdikan diri untuk mencari angka atau adakah manusia menggunakan angka ini sebagai alat untuk memudahkan kehidupan mereka? Interpretasi sedemikian wujud kerana menjadi lumrah manusia suka merujuk kepada apa-apa yang tersurat tanpa menyelidiki apa-apa yang tersirat. Implikasinya, persoalan ini disalah tafsir kerana wang dalam persoalan ini, tidak membawa angka, duit atau syilling.

Wang secara simboliknya digunakan untuk mewakili keperluan manusia. Mungkin boleh diperincikan sama ada manusia hidup untuk memenuhi keperluan mereka sahaja ataupun sebenarnya kepeluan ini ialah mekanisme untuk manusia meneruskan kehidupan mereka. Sekiranya seseorang itu berpendapat hidup ini adalah untuk wang atau dalam erti kata sebenar keperluannya, dia akan mengabdikan seluruh kehidupannya untuk memenuhi keperluannya tanpa menyedari fungsi keperluan itu sendiri. Implikasinya, besar kemungkinan seseorang itu berjiwa materialistik yang mempunyai kelemahannya tersendiri.

Manusia dapat hidup jika keperluannya dapat dipenuhi. Wang digunakan untuk memudahkan proses mendapat keperluan. Oleh hal yang demikian, persoalan wang untuk hidup atau hidup untuk wang harus merujuk kepada maksud tersiratnya, iaitu sama ada hidup manusia ini harus diabdikan untuk memenuhi keperluan atau keperluan itu hanyalah satu mekanisme untuk membolehkan kehidupan diteruskan.

Manusia memang banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk mencapai keperluan yang dihajati. Dalam konteks ini, manusia memang hidup untuk wang. Untuk hidup, manusia perlu makan, minum dan berpakaian. Manusia perlu berusaha untuk mendapatkannya. Untuk keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan penyempurnaan kendiri pula, manusia tetap perlu berusaha untuk memenuhi mereka.

Walau bagaimanapun, apakah pula gunanya semua keperluan ini tanpa hidup? Semua keperluan ini perlu dipenuhi untuk membolehkan seseorang itu terus hidup. Manusia sendiri rela untuk mengabdikan diri bagi memenuhi segala keperluan demi membentuk satu kehidupan yang berwarna-warni lagi bermakna.

Manusia memang hidup untuk wang dan wang pula adalah untuk hidup. Masing-masing memainkan peranan untuk membina satu kitaran hubungan yang saling melengkapi. Hanya dengan pemahaman sedemikianlah, manusia akan sentiasa dapat mengimbangi jiwa mereka. Keseimbangan ini akan menyedarkan seseorang tentang kepentingan untuk memenuhi keperluan manusia, tetapi pada masa sama kita tidak boleh membenarkan keperluan itu memakan diri.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

1 comment:

Sang Sapurba said...

Rantaian antara hidup dan wang saling kait mengait dalam kehidupan kini.Cuma sebagai seorang muslim, janganlah kita menjadi hamba wang, dalam erti kata lain 'gelap mata' disebabkan wang hingga tidak dapat mengenal pasti antara hak dan batil.