Friday, January 16, 2009

WASIAT INSTRUMEN BIJAK PENGURUSAN HARTA


WASIAT adalah instrumen dan mekanisma terbaik kepada pengurusan dan pentadbiran aset dalam Islam. Tuntutan berwasiat tidak hanya kepada orang kaya dan berharta, malah orang miskin dan tidak berkemampuan perlu berwasiat sebelum menghembus nafas terakhir. Persepsi bahawa wasiat hanya aplikasi pengurusan dan pentadbiran harta orang kaya dan gaya hidup mewah perlu diubah segera. Ini kerana wasiat disyariatkan kepada seluruh umat manusia, termasuk bukan Islam.

Sekitar tahun 1990-an, kita dikejutkan dengan laporan hampir RM30 bilion nilai aset umat Islam dibekukan dan tidak dituntut akibat kematian yang rata-ratanya tanpa wasiat di samping sistem pentadbiran dan pengurusan harta yang lemah. Terkini kita digemparkan sekali lagi dengan hampir RM40 bilion nilaian semasa aset umat Islam di Malaysia yang tidak dituntut atas alasan sama. Situasi genting itu berikutan kelalaian umat Islam mentadbir harta mereka menurut syariat dan kurangnya maklumat serta rendahnya kesedaran berwasiat.

Isu yang dianggap sensitif bagi sesetengah pihak dan dianggap tidak penting serta dipandang remeh sudah membelenggu umat Islam sejak dulu lagi hingga di zaman serba moden dan sofistikated ini.

Lantaran itu, ia turut mendapat perhatian serius Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa umat Islam agar mengambil berat dan tidak lagi memandang ringan mengenai pengurusan dan pentadbiran harta mereka iaitu melalui alternatif penyediaan wasiat ketika masih hidup lagi. Islam menyediakan platform terbaik untuk mengurus dan mentadbir harta secara lebih bijaksana, namun ruang dan peluang berkenaan tidak digunakan sepenuhnya.

Jika umat Islam masih memandang remeh mengenai penyediaan wasiat ke atas harta di bawah milikan dan kawalan mereka, sudah tentu nilaian aset tidak dituntut umat Islam akan terus bertambah dan dibekukan. Kelalaian itu amat tidak ekonomik dan amat merugikan negara. Seharusnya aset bernilai itu ditadbir dan diurus sebaik mungkin agar ia bermanfaat kepada pihak yang memerlukan atau boleh disalurkan terus ke arah perkembangan dan kemajuan Islam. Menurut istilah syarak, wasiat adalah pemberian seseorang kepada orang lain baik berupa wang, hutang ataupun manfaat untuk dimiliki oleh orang yang diberi wasiat sesudah orang yang berwasiat meninggal dunia.

Legaliti dan legitimasi wasiat adalah berpandukan firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 180 yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu bapa dan karib kerabatnya secara ma’ruf. Ini adalah kewajipan atas orang yang bertakwa.”

Dalam sebuah hadis, dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Hak bagi seorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang hendak diwasiatkan, sesudah bermalam selama dua malam tiada lain wasiatnya itu tertulis pada amal kebajikannya.”

Ibnu Umar berkata: “Tidak berlalu bagiku satu malam pun sejak aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis itu kecuali wasiatku selalu berada di sisiku.” (HR Bukhari dan Muslim).

Terdapat beberapa kelebihan jika kita membuat persediaan awal menyediakan wasiat sebagai satu daripada proses pengurusan dan pentadbiran aset di bawah kawalan dan milikan kita. Ini adalah kerana ia dapat diselenggarakan dengan baik, cekap dan profesional dengan kos yang minimum.

Wasiat kita dapat diurus dan ditadbir oleh orang yang bertauliah seperti peguam dan ejen wasiat yang mempunyai kelayakan dalam mengendalikan segala urusan berkenaan wasiat merangkumi aspek dokumentasi, penyimpanan, pengurusan, pemeliharaan sehingga kepada urusan pelaksanaan wasiat jika berlaku kematian. Proses tuntutan harta pusaka juga menjadi lebih cepat, mudah dan lancar dengan adanya wasiat yang sah. Ini sudah tentu dapat mengelakkan berlakunya pergaduhan, perselisihan dan perebutan harta di kalangan waris yang berhak pada masa depan.

Di Malaysia terdapat agensi kerajaan seperti Amanah Raya Berhad (ARB) dan agensi swasta seperti Amanah Hibah dan Warisan MUKMIN yang menyediakan khidmat pengurusan dan pentadbiran wasiat secara profesional dan sistematik. Kebiasaannya aset yang dilaporkan terpaksa dibekukan kerana tidak dituntut oleh pewaris berhak meliputi wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan di koperasi dan bank, kereta, hartanah seperti rumah dan bangunan, simpanan saham amanah, insurans dan pelaburan saham syarikat.

Sekiranya keadaan itu tidak diberi perhatian sewajarnya, ia boleh memberi impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara kerana aset berkenaan beku dan tidak dapat dimajukan sewajarnya. Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menerapkan kepentingan berwasiat dan semua pihak hendaklah peka mengenai mentadbir serta mengurus harta mereka melalui medium wasiat.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

2 comments:

Anonymous said...

Amanah Raya Berhad dibenarkan menurut Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995 untuk melaburkan duit pusaka yang diterima secara otomatik daripada KWSP, ASB ataupun sbrg akaun bank si mati(rakyat Malaysia). Dgn kata lain, ARB dibenarkan oleh kerajaan untuk melaburkan harta pusaka rakyat untuk keuntungan sendiri.

Jadi saya rasa sahabat semua dpt menilai & mengetahui apa jawapannya kepada perkhidmatan ARB yg lembab. Ini adalah kerana ARB mempunyai objektif tersendiri kenapa wang pusaka diagihkan dengan lembat kepada waris kerana ingin mendapat keuntungan terlebih dahulu.

Anonymous said...

Kalau biase baca The Star atau New Straits Times.. mesti tak terkejut. Biaselah dengar komplen ttg ARB kat sini..
Kalau tak, takkanlah masalah harta beku tu tak settle-settle..
makin bertambah adalah.. sedey betul!

Kesian si mati.. kalau ada hutangnye tak dapat dibayar disebabkan masalah ni..
Kesian gak kat waris.. sebab tak dapat nak manfaatkan harta peninggalan arwah..

Apepun.. bukan 100% salah ARB.. macam faktor jugak sebenarnye.. tapi faktor utamanya.. tetap kelemahan pengurusan birokrasi di ARB..
Harap-harap mereka akan dapat ikhtiarkan sesuatu untuk menangani masalah ni secepat mungkin.. Lets hope for the best. :amin: