Thursday, January 29, 2009

MODAL INSAN DALAM EKONOMI

Tempoh 13 tahun yang tinggal untuk menuju matlamat negara maju bukanlah satu tempoh yang lama. Hanya modal insan yang diurus dengan cemerlang akan mampu merealisasikan wawasan murni negara ini. Perjalanan masa kita hingga menyinsingnya fajar 1 Januari 2020 adalah ibarat mendaki Gunung Everest. Kini kita sudah sampai separuh perjalanan untuk menuju ke puncaknya. Kekuatan untuk terus mendaki hingga ke puncak bergantung kepada kuatnya jiwa insan dan utuhnya iltizam. Untuk pengukuhan modal insan yang cekap menguasai kepakaran ekonomi dan bidang sosial harus menjadi agenda utama negara.

Modal insan dari segi ekonomi ini akan menyumbangkan kepada penambahan produktiviti, kualiti, pengeluaran, keuntungan dan sebagainya. Manakala sumbangan modal insan dalam bidang sosial adalah sesuatu yang sangat subjektif dan tidak boleh dinilai dengan angka atau peratusan. Tetapi kita boleh menyukat kejayaan hubungan etnik melalui ‘social capital’ atau modal sosial seperti adanya konsep kerjasama, keikhlasan, kejujuran rakyat sesebuah negara. Keadaan ini akan memberi kesan positif ke atas ekonomi dan politik negara. Dalam hal ini, kestabilan politik dan ekonomi yang dikecapi oleh Malaysia selama ini adalah berpaksikan kepada kekuatan hubungan etnik yang harmoni dan kerjasama dari pelbagai kaum.

Kesimpulannya, pembangunan fizikal negara harus diseimbangkan dengan pembangunan insan. Modal insan adalah prasyarat penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi dengan berpaksikan pengetahuan serta teknologi. Pembangunan modal insan yang berkualiti bererti menghidupkan budaya kualiti dalam diri insan itu agar selari dengan permintaan organisasi. Usaha membina modal insan merupakan penentu kepada ‘survival’ negara selain elemen paling kritikal dalam mencapai Misi Nasional.

Kemudiannya nanti, mungkin Misi 2057 menjadi kesinambungan kemajuan negara selepas Wawasan 2020 akan dapat memeta masa depan negara di persada dunia dalam kedua-dua aspek fizikal dan keinsanan. Semoga nanti terzahir aspirasi kerajaan ke arah pengurusan dan pembangunan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

1 comment:

Anonymous said...

InsyaAllah moga-moga harapan nasional melihat jayanya Wawasan 2020 terlaksana hendaknya.