Monday, January 26, 2009

FOREX: HARUS ATAU HARAM?


FOREX (Foreign Exchange) didefinasikan sebagai Perdagangan Matawang Asing. Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan matawang suatu negara terhadap matawang negara lain yang melibatkan pasaran matawang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.

Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sahih. Iaitu;

Dalam menukar wang dengan wang, Nabi telah menyebut garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu : Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama. Ia disebut dalam hadis sebagai ‘yadan bi yadin’. Dalam bahasa Inggerisnya adalah ‘on the spot basis’. Ia berdasarkan Hadis Riwayat Muslim;

Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai.

FOREX dalam matawang yang diuruskan secara konvensional yang tidak menjaga syarat dikategorikan sebagai ‘Riba an-Nasiah’. Ini kerana kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX’ atau Forex yang menggunakan ‘Value forward’(nilai masa hadapan) yang tergolong dalam ‘Riba an-Nasiah’. Forex yang menggunakan nilai ‘Forward’ ini sememangnya diketahui mampu menghasilkan untung yang lebih berbanding ‘Spot’ dalam kebanyakan keadaan jika tepat penggunaannya.

Mestilah terdapat serah terima atau disebut ‘qabadh’ dalam Islam secara benar iaitu ‘hakiki’ atau ‘hukmi’ pada waktu yang sama. Masalah dalam implementasi FOREX adalah bertangguh dalam penyerahan dari kedua-dua pihak dan secara automatik aqad menjadi batal.

FOREX yang diuruskan oleh konvensional tidak menjaga syarat ini, lalu ia terbatal dan termasuk dalam bab menjual sesuatu sebelum memilikinya yang diharamkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Selain itu, FOREX ini juga amat terdedah kepada unsur spekulasi berlebihan yang boleh menyebabkan ia termasuk dalam katergori perjudian. Walaubagaimanapun, tidak di nafikan unsur ini agak sukar untuk ditetapkan kadarnya.

Tidak saya nafikan, bahawa terdapat sesetengah Bank-Bank Islam juga ada yang melakukan forex ini setelah mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Shariah mereka. Kebanyakan mereka ini melakukan FOREX jenis ‘Spot’ dan bukannya jenis ‘Forward’. Apa yang pasti, sudah tentu majlis Shariah telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja. Berkenaan Pelaburan Swiss yang diuruskan oleh badan Konvensional, maka sudah tentu ia tidak meletakkan sebarang perhatian kepada syarat-syarat yang ditentukan Shariah. Pemain-pemain forex kelihatan bersungguh-sungguh cuba mempertahankan keharusannya, pelbagai fatwa dibentang dan diusulkan. Hakikatnya, semua fatwa keharusan adalah tertakluk kepada syarat di atas dan bukannya secara mutlak. Secara mudah, bagi saya, anda perlu memastikan siapa yang menguruskan transaksi ‘permainan forex’ anda, adakah sebuah institusi kewangan Islam atau konvensional? Jika institusi kewangan Islam, penasihat Shariah akan menanggung tanggungjawab. Justeru, ia adalah harus bagi orang awam selagi penasihat Shariah ini mengatakannya harus.

Bagaimanapun dalam hal Pelaburan Swiss yang menggunakan FOREX sebagai instrumennya, ternyata ianya beroperasi sebagai sebuah institusi kewangan konvensional dan kapitalis. Sesebuah institusi kewangan konvensional sudah pasti akan menggunakan instrument forex tanpa sebarang ikatan syarat yang ditetapkan Shariah di atas. Tanpa syarat itu, transaksi antara matawang dengan matawang secara tangguh akan menghasilkan ‘Riba an-Nasiah’ yang diharamkan secara sepakat oleh seluruh Ulama Islam. Diharapkan agar semua umat Islam peka dan celik ke atas pelaburan FOREX ini. Renung-renungkanlah.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

2 comments:

Anonymous said...

Terima Kasih di atas info saudara pengarang. Setidak-tidaknya dapat menimbulkan kesedaran dikalangan orang Islam akan hukam-hakam perlaburan forex ini.

Semoga Allah memberkati niat murni dan perjuangan saudara pengarang ke atas parti, bangsa dan agama.

Tok Li said...

Info ini memang menarik tapi ramai yg pejam sebelah mata tentang hukum hakam ini.

Semuga saudara berjuang dengan penuh ikhlas & sabar untuk agama, bangsa & negara.