Friday, May 31, 2013

PTPTN PERLU PENAMBAHBAIKKAN BUKANNYA PEMANSUHAN

PTPTN adalah salah satu saluran bantuan kerajaan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran diperingkat pengajian tinggi. Saluran ini adalah hasrat kerajaan membantu mereka yang tidak berkemampuan untuk membiayai pengajian. Kerajaan tidak pernah memaksa pelajar-pelajar untuk menerima bantuan ini. Kerana sebelum pinjaman ini diberikan, pelajar harus menandatangani surat perjanjian penerimaan dan pembayaran balik pinjaman. Kepada mereka yang mampu, tidaklah perlukan pinjaman ini, kerana kerajaan memberi peluang kepada mereka yang tidak mampu.

Selain itu, kerajaan tidak menafikan bahawa terdapat faedah 1% yang dinamakan sebagai kos pentadbiran. Namun kos ini adalah berpatutan. Walaubagaimanapun, kita berhasrat juga agar kerajaan melupuskan 1% ini yang mana sedikit sebanyak membebankan peminjam-peminjam. Saya memang membantah sekiranya PTPTN ini dimansuhkan terus, tetapi saya menyokong sekiranya kerajaan melakukan penambahbaikan terhadap pinjaman ini.

Dalam hal yang berkaitan, ketua pembangkang pernah menyarankan agar dana Petronas digunakan untuk melupuskan RM24.7 billion hutang PTPTN. Keburukan melupuskan hutang pinjaman PTPTN dengan menggunakan dana Petronas akan membuatkan Petronas muflis. Petronas bukan lagi pengeluar minyak terbesar, jadi keuntungan Petronas tidak akan dapat bertahan selama 5 hingga 10 tahun akan datang.

Secara keseluruhannya, Malaysia akan muflis dan akan berhutang besar sebab pembangkang mahu tol dihapuskan, subsidi minyak ditambah, hutang PTPTN dihapuskan dan subsidi asas seperti subsidi gula, tepung, dan barangan asas lain ditambah. Tidak mustahil sekiranya Malaysia akan berhutang berlipat kali ganda dengan IMF untuk menampung semua ini bagi menggembirakan hati semua pihak. Sebenarnya PTPTN hanya memerlukan penambahbaikan. Bukan dengan memansuhkannya. Misalnya, PTPTN itu dihapuskan faedahnya, kemudian gunakan konsep pinjaman seperti yang MARA lakukan terhadap peminjamnya dan kerajaan tidak perlu blacklist peminjam yang hendak keluar negara.

Kesimpulannya, hanya segelintir pelajar sahaja yang akan rasa bersyukur dengan apa yang telah diberikan dan akan berusaha dengan sebaik mungkin. Manakala selebihnya adalah sebaliknya. Justeru, saya berpendapat bahawa pinjaman PTPTN tidak wajar dihapuskan secara terus tetapi penambahbaikkan perlu dilaksanakan agar rakyat terutamanya golongan pelajar ini tidak terbeban dengan hutang sepanjang hidup. Pihak kerajaan dan pihak yang terlibat perlu berfikiran terbuka dengan mengadakan rundingan dan perbincangan dengan segera bagi mengelakkan isu ini menjadi semakin parah dan memuncak.


IDZWAN IDRIS
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan





No comments: