Saturday, April 25, 2009

NAJIS RASUAH MENGGUGAT INTEGRITI PENGURUSAN

Secara mudah rasuah bermakna menyalahguna kuasa atau mengambil harta dengan cara yang salah. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu.

Menurut statistik Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 2007 di dapati sebanyak 590 tangkapan dibuat. Manakala pada bulan Januari tahun 2008 sahaja di dapati sebanyak 80 kes tangkapan telah dibuat. Malah menurut Badan Pemerhati Rasuah Antarabangsa menunjukkan indeks rasuah di negara ini juga meningkat dari setahun kesetahun. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan negara. Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?.

Bedasarkan pemerhatian, antara faktor utama menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar dalam politik tetapi sumber kewangan sedikit, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan cepat, sifat tamak haloba, dan penjenayah rasuah amat meyakini ia mampu mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Antara kesan buruk amalan rasuah ialah pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, akan menaikkan kadar inflasi, berleluasa kezaliman dalam masyarakat seperti menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah, membelakangkan orang yang sepatutnya didahulukan dan menghapuskan peluang pihak yang sepatutnya layak. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan petani, nelayan, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan dhaif yang lain yang tidak mengerti apa-apa tentang pengurusan harta negara.

Islam menetapkan bahawa pekerjaan adalah sebahagian daripada ibadah jika selari dengan etika kerja Islam. Etika Kerja Islam itu ialah meletakkan niat bekerja kerana Allah SWT, ikhlas, melaksanakan dengan amanah dan tekun serta tidak mengabaikan ibadah khusus yang lain.
Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya bekerja kuat dan mencari kekayaan. Dengan demikian umat Islam berpeluang membayar zakat dan bersedekah bagi tujuan memakmurkan agama Islam serta meringankan penderitaan manusia sejagat. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya: " Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Tangan Yang Menerima ". Dengan demikian kita gunakanlah sepenuhnya organisasi kita samada dalam kerajaan atau swasta sebagai tempat yang mempunyai integriti, mampu memartabat kesucian agama, menjaga kesejahteraan negara dan masyarakat.

Dalam usaha mencari kekayaan itu Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas supaya umat Islam tidak terjebak dengan amalan budaya berdosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Bermaksud: " Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya) " . Ketika mengulas bahaya najis rasuah ini Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: " Rasulullah SAW telah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi orang perantaraan " .(Riwayat Ahmad)

Mereka yang terlibat dalam amalan najis rasuah ini dikutuk Allah SWT dan dihumban ke dalam api neraka. Satu lagi timbul persoalan, apakah mereka yang terlibat dengan najis rasuah ini akan diwarisi pula oleh baka atau keturunan mereka?.

Jabir bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: " Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang diusahakan dengan jalan yang haram, maka nerakalah yang selayak baginya ".

Berdasarkan hadith ini, nyata terdapat perkaitan kuat bahawa mereka yang bergelumang dengan najis rasuah ini berkemungkinan besar akan diwarisi pula oleh anak pinak mereka.
Ingin saya mengingatkan bahawa mereka yang menolak amalan najis rasuah adalah manusia hebat dan cemerlang kerana ia dapat menjamin kesinambungan nasab atau keturunannya kekal dalam keadaan insan yang beriman dan berintegriti serta membuktikan bahawa amalan ibadah-ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, berzakat dan haji yang diamalkan telah berjaya mencegah dirinya terlibat dengan najis rasuah. InsyaAllah.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

INTEGRITI DALAM KEPIMPINAN RASULULLAH S.A.W

Pada prinsipnya setiap manusia adalah pemimpin. Pemimpin yang berjaya adalah seseorang yang mengetuai dirinya sendiri, keluarga, organisasi atau pertubuhan, meneraju membuat perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Tanggungjawab ini bukan mudah kerana banyak cabaran dan ujian yang akan dihadapi. Peranan penting seorang pemimpin ini pernah dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.

Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat melalui sifat-sifat mulia seperti amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Menurut sirah, sebelum dari kerasulannya pemimpin Quraish pernah memberi gelaran 'al-Amin' kerana ketinggian sifat integriti dan akauntabiliti baginda dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran 'al-Amin' ini telah membangkitkan rasa kasih sayang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraish kepada Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh baginda juga cukup hebat. Misalnya Abu Jahal seorang pemimpin kanan Quraish, pernah menawarkan jawatan Raja, perempuan cantik, dan harta kekayaan, supaya Rasulullah s.a.w. tidak meneruskan perjuangan Islam. Namun, berdasarkan kekuatan integriti dan maruah kepimpinan Islam, maka Rasulullah s.a.w. menolak semua tawaran itu.

Selain Abu Jahal, al-Qur'an juga menyebut beberapa watak kepimpinan korup yang tidak berintegriti sehingga merosakkan negara, memecah belahkan masyarakat, dan kesengsaraan kepada keluarga, yang akhirnya semasa di dunia lagi telah menerima balasan azab terhadap kekejaman yang dilakukannya.Watak itu ialah Fir'aun, Haman, dan Qarun.

Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Fir'aun adalah pemerintah diktator, mempunyai bidang kuasa mutlak menghukum musuhnya sesuka hati dan mendakwa dirinya tuhan kerana meyakini tidak ada kuasa lain boleh menggugat pemerintahannya; Haman pula seorang yang sentiasa berlegar mengelilingi Fir'aun menjalankan tugas ampu-mengampu untuk memperkukuhkan kekuasaan Fir'aun; manakala Qarun pula seorang tokoh korporat yang mengambil manfaat daripada pemerintah. Dia membantu pemerintah dengan kewangannya dengan harapan akan mengaut habuan lebih besar tanpa mempedulikan penderitaan orang lain.
Setiap kali kita solat, kita sering membaca al-Qur'an, takbir, tasbih, syahadah dan selawat kepada Nabi s.a.w. Semua ini adalah agenda Islam untuk mengukuhkan integriti umat Islam selari dengan al-Qur'an dan as-Sunnah. Jika solat dan ibadah khusus lain yang dilaksanakan dari masa ke masa gagal membentuk kita menjadi pemimpin yang jujur, amanah, telus atau berintegriti, maka kita tergolong daripada manusia yang rugi.

Integriti seorang pemimpin berkait rapat dengan imej agama Islam dan nasib keluarga serta umatnya di dunia hingga akhirat. Lihat sahaja bukti kepimpinan Rasulullah s.a.w. yang mengasihi umatnya, sehinggakan di waktu sakaratulmaut pun baginda masih terkenang mengenai nasib umatnya di dunia ini dengan keluhan yang berat. Berulang kali baginda menyebut umatku! umatku! Umatku!

Apa yang tidak terjangkau oleh fikiran kita ialah integriti kepimpinan Rasulullah s.a.w. membawa sehingga terselamatnya umat Islam dari azab Allah s.w.t. sebagaimana sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka”.

Kepimpinan yang berintegriti dalam keluarga dan masyarakat mencerminkan suasana kepimpinan yang cemerlang. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124:

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati.”

Apa yang jelas, terdapat dua perkara asas dalam ayat tadi. Pertama, kepimpinan bukan sekadar perjanjian antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah s.w.t. Kedua, kepimpinan hendaklah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab. Pada masa yang sama, semua pihak hendaklah menginsafi diri dengan mempertingkatkan kualiti jati diri dan integriti sesama rakyat. Wallahualam

KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan


HINDARI BAHAYA SKIM CEPAT KAYA

Keinginan untuk cepat kaya dengan jalan mudah telah menghilangkan pertimbangan waras di kalangan segelintir masyarakat kita hingga sanggup mengeluarkan duit simpanan mereka untuk melabur di dalam skim ini. Mereka bernafsu besar untuk menjadi kaya dan mendapat kemewahan dengan cara yang cepat tanpa perlu bekerja keras, tetapi akhirnya mengalami kerugian berpuluh ribu ringgit hanya dalam sekelip mata.

Keadaan ini sangat bertentangan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang melarang kita daripada terjebak dengan perangkap syaitan dan nafsu jahat:
Maksudnya: " Wahai sekalian manusia makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu".

Ketika mengulas perkara yang sama, Nabi Muhammad SAW dalam hadithnya mengingatkan kita bahawa Allah SWT akan menjadikan jasad yang memakan makanan dari sumber yang haram sebagai bahan bakaran api neraka. Sabda baginda:
Mafhumnya: "Setiap jasad yang tumbuh dari sesuatu sumber yang haram, maka neraka lebih baik baginya".(Kitab Sh'ubul Iman)

Skim Cepat Kaya yang seringkali dijalankan di Malaysia terdiri daripada dua jenis aktiviti iaitu, Pengambilan Deposit Secara Haram dan Urusniaga Matawang Asing Secara Haram. Ada di antaranya beroperasi melalui internet seperti FOREX, E-GOLD, SWISS CASH dan lain-lain lagi.
Skim Pengambilan Deposit Secara Haram dapat dipastikan melalui ciri-ciri berikut:

Pertama: Penganjur skim cepat kaya tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989;

Kedua: Penganjur skim cepat kaya biasanya menjanjikan pemulangan semula wang deposit berserta dengan faedah yang jauh lebih tinggai berbanding dengan tawaran institusi kewangan berlesen; dan

Ketiga: Penganjur skim cepat kaya tidak melabur deposit yang diterima dalam sebarang perusahaan yang menguntungkan. Keuntungan yang di dakwa dibayar kepada para peserta sebenarnya adalah wang para pendeposit.

Bagi Skim Urusniaga Matawang Asing Haram pula, boleh dipastikan melalui ciri-ciri seperti:

Pertama: Pengendali tersebut menawarkan kepada pelabur atau orang awam peluang untuk berurus niaga matawang asing dengan syarikat induk yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berurus niaga matawang asing di luar negara;

Kedua: Memudahkan urus niaga matawang asing dengan menyediakan akses kepada laman web syarikat induk dan kemudahan urus niaga melalui internet;

Ketiga: Menggaji lepasan siswazah sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka supaya membuat ahli keluarga membuat pelaburan;

Keempat: Mengarahkan pelabur-pelabur untuk mendeposit wang pelaburan sama ada ke dalam akaun bank syarikat induk atau akaun bank pihak ketiga; dan

Kelima: Mempengaruhi pelabur-pelabur untuk menambah jumlah pelaburan atau menghadapi risiko kehilangan pelaburan mereka.

Dengan ini ingin saya menasihatkan bahawa amalan skim cepat kaya memberi kesan buruk sebagaimana berikut:

(1) Kepada penganjur pengambilan deposit haram mereka boleh dihukum maksima penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda sebanyak RM10 juta ringgit dan denda sebanyak RM100, 000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan. Bagi kesalahan urusniaga matawang asing haram pula ialah hukuman maksima denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan mahkamah boleh merampas mana-mana matawang atau hartabenda yang digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.
(2) Bagi pelabur pula, mereka akan mengalami kerugian besar dengan kehilangan wang simpanan yang telah dikumpul sekian lama dan yang lebih menyedihkan ada yang menanggung ratusan ribu hutang bank yang dipinjam kerana semata-mata ingin melabur dalam skim yang kononnya cepat kaya itu. Kerugian yang mereka alami ini bukan sahaja dilihat dengan kehilangan wang simpanan yang telah dikumpul selama hayat tetapi juga kehilangan sahabat-handai, saudara mara dan juga anak isteri. Apabila wang yang disimpan selama ini adalah untuk masa depan anak-anak, atau untuk kegunaan di hari tua, ahkirnya hilang begitu sahaja hanya kerana gara-gara kerana ingin menjadi kaya dengan cepat, malah ada yang lebih menyedihkan adalah apabila ada yang sanggup membuat pinjaman bank semata-mata ingin melabur di dalam skim ini dan akhirnya terpaksa menanggung hutang sepanjang hayat sehinggakan terpaksa menjual segala benda untuk membayar balik hutang. Begitulah sebahagian daripada kisah-kisah benar yang berlaku akibat gara-gara terpengaruh dengan skim cepat kaya ini.
(3) Manusia menjadi malas berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh kerana terlalu yakin dengan skim cepat kaya ini.
(4) Penganjur dan para pelabur skim cepat kaya dilaknat dan mendapat kemurkaan Allah SWT disebabkan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam kerana ada unsur penipuan (gharar).

Saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini, agar tidak tertipu dan terpedaya dengan pelaburan-pelaburan yang melanggar hukum syarak dan undang-undang negara khususnya SKIM CEPAT KAYA dengan mengambil langkah lebih berhati-hati seperti menyemak dengan pihak berwajib pelaburan yang sah dan selamat.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

KEPENTINGAN EKONOMI DALAM KEHIDUPAN

Kebahagiaan hidup seseorang di dunia ini amat dipengaruhi oleh nilai kewangan yang dimilikinya selain daripada nilai iman dan akhlak. Oleh itu, Islam amat menggalakkan umatnya agar berusaha memperbaiki dan memantapkan ekonomi diri dan keluarga serta juga umat Islam seluruhnya. Jika diteliti, kedudukan ekonomi umat Islam di dunia hari ini secara keseluruhannya sangat menyedihkan berbanding pencapaian orang lain. Realiti ini sangat bertentangan dengan kehendak dan ajaran Islam, kerana Islam sentiasa menggalakkan umatnya agar berusaha meningkatkan kualiti dan sekejahteraan hidup.

Kedai’fan ekonomi umat Islam pada hari ini, sebahagiannya berpunca dari kegagalan umat Islam itu sendiri yang tidak menghayati ajaran Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap lagi sempurna. Sebagai umat Islam kita tidak perlu menjadi miskin dengan mengabaikan tuntutan hidup di dunia hanya kerana mahukan kehidupan yang bahagia di hari akhirat semata-mata, sedangkan kehidupan di dunia adalah jambatan untuk kehidupan di akhirat.

Oleh itu, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai sumber kehidupan untuk mencapai kebahagiaan selagi ianya tidak bertentangan dengan kehendak syara’. Sebagai contoh, usaha meningkatkan ekonomi diri dan keluarga serta memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam.

Justeru itulah, Islam tampil sebagai model terbaik menjadi panduan kepada manusia dalam mencari kesejahteraan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Pengukuhan dan penguasaan ekonomi untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara merupakan suatu tuntutan dan keutamaan dalam Islam. Pembangunan ekonomi menjadi agenda penting bagi kehidupan umat Islam, kerana kukuhnya ekonomi sesuatu umat itu akan menyebabkan ia dihormati dan disanjung. Tetapi malangnya terdapat segelintir umat Islam yang memandang remeh dan menganggap bahawa usaha mengukuhkan ekonomi tidak penting dan bukan kerja yang dituntut serta tidak ada hubungkait dengan ibadah.

Ini merupakan satu tanggapan dan pemahaman yang salah, kerana Islam bukanlah suatu agama yang hanya cenderung kepada kehidupan hari akhirat dan hubungan dengan Allah s.w.t. semata-mata, bahkan kita sebagai umat Islam diseru supaya memenuhi tuntutan dunia. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 77 :
Maksudnya: " Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba2 Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

Kita semua sedar bahawa dalam dunia yang semakin bersaing, hanya orang yang benar-benar berkebolehan dan mempunyai semangat juang yang tinggi sahaja manpu meningkat dan mengukuhkan penguasaan ekonomi dengan lebih sempurna.

Maka dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa pihak kerajaan begitu serius dan komited dalam membangunan negara untuk masa depan rakyat. Dalam Rancangan Malaysia Ke -9 (RMK-9) usaha-usaha ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan dengan memberi penekanan terhadap aspek membasmi kemiskinan, mengana pembangunan ekonomi yang seimbang serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh rakyat secara adil dak saksama.

Justeru, dalam menjalankan kegiatan ekonomi, kita perlu berwaspada, agar ianya dilaksanakan berdasarkan syariat Islam yang telah menggariskan etika dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Islam amat menitik berat soal keadilan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisaa’ ayat 29:
Yang bermaksud : ”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Kita seharusnya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dilimpahkan rahmat dan rezeki yang secukupnya, disamping boleh menjalani kehidupan dengan sempurna dan selesa. Berbanding negara lain, di mana umat Islamnya tidak begitu bernasib baik seperti kita, mereka sering dihina dan dipandang sebagai mundur dan tidak bertamadun. Tanggapan itu tidak harus dipandang begitu sahaja bahkan kita hendaklah mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi agar imej Islam dipandang mulia, dihormati dan dicontohi sepanjang masa. Salah satu jalan yang terbaik untuk meningkatkan penguasaan ekonomi umat Islam adalah melalui perniagaan iaitu berusaha menjadi usahawan yang berjaya. Seruan ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :
Yang Bermaksud : “ Sembilan persepuluh punca rezeki itu adalah melalui bidang perniagaan ”. (Riwayat Abu Said bin Mansur)

Walau apa pun usaha yang dilakukan untuk berjaya dalam bidang perniagaan, kita sama sekali tidak boleh lupa kepada Allah s.w.t., bahkan wajib mensyukuri nikmat kurniaan-Nya mudah-mudahan perniagaan sentiasa mendapat keberkatan dan menghasilkan keuntungan yang berterusan. Akhirnya dapat disalurkan kepada umat Islam lain melalui pengeluaran zakat, sedekah dan seumpamanya. Kerana kita tahu bahawa dalam Islam zakat cukup berperanan membungun ekonomi umat Islam disamping memperlihatkan betapa indahnya agama Islam.

Sebagai contoh, generasi pertama Islam seperti Abdul Rahman bin Auf, Zubair Ibnu A’wwam, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi bukan sahaja menjadi usahawan yang berjaya tetapi mereka turut memainkan peranan penting dalam penyebaran dan pengembangan dakwah Islam. Oleh itu semangat, etika dan keperibadian para sahabat ini perlu dicontohi oleh peniaga atau pengusaha pada hari ini.

Namun begitu, dalam konteks dunia moden hari ini, peningkatan ekonomi tidak semestinya bergantung melalui kegiatan perniagaan sahaja. Pekerjaan lain yang berbentuk kepakaran dan kemahiran juga mampu meningkatkan taraf ekonomi seseorang atau sesuatu keluarga. Oleh itu, disamping menceburi perniagaan, umat Islam juga perlu menguasai ilmu serta kepakaran tertentu seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, kewangan, pelaburan dan sebagainya. Kerana hasilnya kita boleh meningkatkan ekonomi diri dan dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam dan Negara.

Kesimpulannya, sekiranya kita umat Islam ingin dilihat sebagai umat yang maju dan dihormati, maka kita harus bangkit dan berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi masing-masing. Ini merupakan konsep “ jihad ” yang mesti dipegang oleh umat Islam. Kita juga perlu melihat kesan ekonomi individu Islam ke atas ekonomi umat Islam keseluruhannya. Sikap mengabaikan keperluan pengukuhan ekonomi akan melemahkan kedudukan ekonomi serta martabat umat Islam dan akibatnya memudahkan kita dieksploitasi dan dijajah oleh orang lain.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

Thursday, April 23, 2009

HANYA BN MAMPU TERJEMAH MIMPI MENJADI REALITI

Kini, rakyat Malaysia menyaksikan satu lagi detik bersejarah peralihan tirai kepimpinan negara. Kemuncak penutup tirai Perhimpunan Agung UMNO lalu merupakan detik yang akan menjadi sejarah kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.

Melihat kepada respons kehadirannya sudah cukup untuk semua bersetuju bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah pemimpin yang masih disayangi dan disanjungi oleh kawan dan lawan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa beliau masih lagi tokoh yang paling berpengaruh di Malaysia.

Sesungguhnya keserasian serta ucapan ‘peniup semboyan’ yang senada dan sekata telah membangkitkan semula roh UMNO, ibarat masih ada sinar di hujung terowong. Itulah kekuatan UMNO, Tun Dr Mahathir telah memilih saat dan ketika yang amat tepat sekali untuk menyuntik roh serta keyakinan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam memastikan UMNO dan BN terus relevan demi kelangsungan bangsa dan kestabilan negara. Inilah kekuatan dalaman UMNO yang tiada pada parti lain di dunia.

Sebagai rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Pak Lah yang telah menaburkan bakti beliau selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Berbekalkan semangat ‘Marilah bekerja bersama saya, bukan untuk saya’ dan pelaksanaan Islam Hadhari, Pak Lah telah membawa bersamanya kepimpinan yang bercirikan holistik serta membawa kepada penambahbaikan dasar keterbukaan dan ketelusan yang tinggi dari segenap segi.

Pak Lah telah membawa sahsiah ‘Melayu Unggul’ yang bercirikan ulul albab untuk menyerlahkan imej bangsa Melayu dan Islam sebagai pembawa keamanan sejagat. Kini perjalanan perjuangan UMNO dan BN akan diteruskan melalui kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6.

Saya percaya majoriti pemimpin dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah negara yang selamat, aman dan makmur dengan kemunculan satu generasi pelbagai keturunan yang hidup aman damai, bertutur dalam satu bahasa, hidup dengan satu budaya dan berinteraksi dengan perasaan bersaudara.

Kalau itulah impian kita semua, hanya dengan kekuatan UMNO dan BN sahajalah yang dapat menterjemahkan mimpi menjadi realiti.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

TOGETHER AGAIN

Like many Malaysians, I shed tears of joy to see the coming together for our esteemed leaders Tun Dr Mahathir and outgoing Prime Minister Tun Abdullah Ahmad Badawi.

For me, it was the best news to emerge from the 4 day UMNO general assembly apart from the transformation and re-energizing of the party. Fences have been mended. The overtures of reconciliation between the 2 made it all the more sweeter coming from Prime Minister in waiting Datuk Seri Najib Tun Razak. It was a strong signal from him that UMNO should close ranks, from top to bottom.

UMNO is weak not because of the opposition but because of differences within. A united UMNO is needed before it can concentrate on steering the country out of the economic doldrums and lead to a stabilized Barisan Nasional.

Another heartrending moment at the assembly was Abdullah seeking forgiveness from UMNO members whom he thinks he might have offended so that he can retire with peaceful heart. He singled out new deputy president Tan Sri Muhyiddin Yassin, one of the proponents who pressured Abdullah to step down. This is the hallmark of a pious Muslim leader who forgives, forgets and does not bear a grudge.

It’s sad to see Abdullah go prematurely and we wish him a happy retirement. Not many countries have 2 living former Prime Minister and we look forward to Abdullah and Dr Mahathir inputting their expertise and experience to help Najib make our country more prosperous and harmonies.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

Saturday, April 4, 2009

DATUK NAJIB, PM KE-6


Proses peralihan kepimpinan nombor satu negara, Perdana Menteri telah berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah digariskan oleh mantannya, Tun Abdullah Badawi apabila Datuk Sri Najib Tun Razak secara rasminya mengangkat sumpah jawatan tersebut.

Datuk Sri Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Tun Abdullah yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, semalam.

Keyakinan terhadap Datuk Najib sebagai teraju negara dianggap akan dapat memulihkan kesuraman yang berlaku dalam negara bukan sahaja melibatkan hal politik tetapi juga berkaitan dengan krisis ekonomi global yang turut memberi tempias kepada keadaan ekonomi negara. Semoga dengan perlantikan Datuk Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam ini dapat membawa perubahan kepada negara seterusnya memacu negara menjadi negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang hendaknya. Tahniah Datuk Najib.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan