Wednesday, May 20, 2009

MASALAH KEWANGAN DAN IMPAKNYA PADA KRISIS AKHLAK


Ketika ditanya akhlak Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah RA menjawab yang bermaksud:‘Akhlak Rasulullah adalah Al Quran’.
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, ternyata agama merupakan identiti kepada akhlak dan perilaku. Tahap sesuatu bangsa itu ditentukan dengan akhlaknya.

Jika rosak akhlak, binasalah bangsa. Maju mundur sesuatu bangsa ditentukan akhlak atau perlaksanaan agama bangsa tesebut. Ramai tidak menyedari sumber akhlak itu asalnya dari agama Islam dan Al Quran. Jika difahami realiti ini, bagaimanakah akhlak masyarakat Melayu terutamanya golongan muda-mudi?

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan akhlak atau kualiti keagamaan umat Islam Malaysia masih jauh daripada daripada nilai ideal ajaran agama Islam. Krisis paling dominan melanda Malaysia sebenarnya adalah krisis akhlak ditambah krisis ekonomi.

Krisis melanda sekarang harus menyakinkan kita pembangunan ekonomi tidak dapat dipisah daripada isu akhlak dan etika. Inilah dikumandangkan ulama dan sarjana Islam bahawa paksi pembangunan dan pertumbuhan berkait rapat prinsip asas pembangunan insan.

Kebejatan akidah ini bertambah rumit dengan krisis ekonomi yang entah bila penghujungnya. Siapa sangka kesan kegawatan ini turut memberi tempias kepada institusi keluarga apabila perhatian terhadap anak kurang diberikan apabila ibubapa ligat mencari rezeki.

Akibat kegawatan, segala kos kehidupan meningkat tanpa adanya ‘isyarat’. Hal ini membuatkan masyarakat terkejut sebentar dengan kejadian berlaku. Adakah kita sedar krisis kewangan ini menyumbang peningkatan kadar jenayah?

Apa yang perlu di sini adalah penghayatan ajaran Islam yang menyeluruh perlulah diperkasakan bagi setiap diri individu dalam membuat pertimbangan yang bijak dalam menangani gelombang kehidupan. InsyaAllah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

No comments: