Friday, May 15, 2009

PENJARA KITA


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: ‘Dunia itu adalah penjara orang mukmin, dan syurga bagi orang kafir’.

(Riwayat Muslim )


Hadis ini menjelaskan tentang kematian yang hakiki bagi orang mukmin dan orang kafir. Sesungguhnya dunia bukanlah kenikmatan hakiki bagi kita. Ianya hanya nikmat yang tersangat kecil sahaja dan ianya hanyalah kenikmatan bagi orang kafir.

Pada hakikatnya dunia ibarat penjara bagi orang mukmin kerana kehidupan yang penuh dengan peraturan dan larangan yang wajib diikuti. Segala kehendak nafsu tidak boleh diikuti, tidak boleh sesuka hati membuat sesuatu kecuali jika ianya dibenarkan oleh Islam. Manakala bagi orang kafir, dunia inilah kemegahan dan kenikmatan mereka. Apa sahaja yang mereka ingin lakukan tiada batasan dan larangan, tiada sebarang halangan.


Ketenangan dan kebahagiaan terpancar di jiwa orang mukmin yang berada di dunia sekalipun penjara bagi mereka. Ini adalah kerana mereka merasa bahagia di penjara secara maknawi, selamatlah daripada khianat dunia, sentiasa dalam pengawasan PENGAWAL dunia, di atur setiap hari jalan kehidupannya. Semuanya ini nikmat bagi mukmin yang benar, yang menjadi derita hanyalah kepada kita yang tidak pernah sabar dan minta dilepaskan daripada penjara dunia yang sementara ini.

Oleh itu, rasailah kenikmatan penjara dunia yang sementara ini, kerana kita bakal mengecapi nikmat disebaliknya dan hasil daripada derita yang sementara ini, kita bakal dilepaskan pada suatu masa yang dijanjikan dengan menikmati NIKMAT SYURGA sebenar di akhirat nanti. InsyaAllah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

No comments: