Wednesday, May 20, 2009

PELBAGAI DEFINASI POLITIK


Kita sering mendengar politik didefinasikan sebagai permainan kemungkinan. Memang dalam politik, segala-galanya adalah kemungkinan. Politik juga turut diertikan sebagai seni poli taktik. Ini bermaksud, dalam politik selain mengadakan pilihan raya, terdapat kaedah-kaedah lain untuk naik. Ada kaedah penyeberangan (defection), iaitu wakil rakyat dari satu parti menyeberang ke parti lain. Terdapat juga tindakan mahkamah untuk menentukan penguasaan. Selain itu terdapat aneka jenis kempen misalnya kempen karismatik, kempen janji, kempen transformasinya dan lain-lain.

Memikirkan peristiwa politik Perak, kita tentulah terfikirkan Shakespeare kerana beliau mengatakan dunia ini pentas dan manusia ialah pelakon-pelakon. Apabila kita memerhatikan tingkah laku politik Nizar dan Zambry, kita hanya terfikir mereka berdua, tanpa memikirkan siapakah pengarah ‘lakonan’ mereka. Sebenarnya jika kita benar-benar memberikan tumpuan terhadap peristiwa itu, kita akan dapat melihat tingkah mereka berdua hanyalah manifestasi perancangan yang lebih besar.

Definasi figuratif politik dapat menghilangkan ketegangan di kalangan rakyat. Tugas rakyat ialah memilih pemimpin dan kerajaan mengikut kehendak masing-masing. Apabila pemilihan dibuat mengikut prinsip yang ada, maka kerajaan yang dipilih akan menjalankan tugasnya. Bukanlah berfaedah rakyat bertempik-tempik untuk menggantikan seseorang dengan orang lain. Pihak yang menjadi kerajaan atau pembangkang memanglah akan saling libas melibas.

Jika kita mengambil definasi bahawa politik itu poli taktik, kita akan terhibur memikirkan pelbagai taktik. Rakyat tidak perlu memikirkan taktik, kecuali sejumlah rakyat yang turut terlibat dalam perancangan. Berhiburlah dengan definasi figuratif.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

MASALAH KEWANGAN DAN IMPAKNYA PADA KRISIS AKHLAK


Ketika ditanya akhlak Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah RA menjawab yang bermaksud:‘Akhlak Rasulullah adalah Al Quran’.
(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, ternyata agama merupakan identiti kepada akhlak dan perilaku. Tahap sesuatu bangsa itu ditentukan dengan akhlaknya.

Jika rosak akhlak, binasalah bangsa. Maju mundur sesuatu bangsa ditentukan akhlak atau perlaksanaan agama bangsa tesebut. Ramai tidak menyedari sumber akhlak itu asalnya dari agama Islam dan Al Quran. Jika difahami realiti ini, bagaimanakah akhlak masyarakat Melayu terutamanya golongan muda-mudi?

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan akhlak atau kualiti keagamaan umat Islam Malaysia masih jauh daripada daripada nilai ideal ajaran agama Islam. Krisis paling dominan melanda Malaysia sebenarnya adalah krisis akhlak ditambah krisis ekonomi.

Krisis melanda sekarang harus menyakinkan kita pembangunan ekonomi tidak dapat dipisah daripada isu akhlak dan etika. Inilah dikumandangkan ulama dan sarjana Islam bahawa paksi pembangunan dan pertumbuhan berkait rapat prinsip asas pembangunan insan.

Kebejatan akidah ini bertambah rumit dengan krisis ekonomi yang entah bila penghujungnya. Siapa sangka kesan kegawatan ini turut memberi tempias kepada institusi keluarga apabila perhatian terhadap anak kurang diberikan apabila ibubapa ligat mencari rezeki.

Akibat kegawatan, segala kos kehidupan meningkat tanpa adanya ‘isyarat’. Hal ini membuatkan masyarakat terkejut sebentar dengan kejadian berlaku. Adakah kita sedar krisis kewangan ini menyumbang peningkatan kadar jenayah?

Apa yang perlu di sini adalah penghayatan ajaran Islam yang menyeluruh perlulah diperkasakan bagi setiap diri individu dalam membuat pertimbangan yang bijak dalam menangani gelombang kehidupan. InsyaAllah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

Friday, May 15, 2009

BERSANGKA BAIK


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: Berfirman Allah Azzawajalla: ‘Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hambaku sangka terhadapku. Dan aku beserta dengannya ketika ia menyebutKu (berzikir kepadaKu)

(Riwayat Bukhari Dan Muslim)


Hadis di atas adalah hadis Qudsi, di mana Allah SWT telah menyampaikan kepada Nabi, dan Nabi telah menyebut apa yang disampaikan oleh Allah melalui ucapan baginda. Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu, selain daripada Dia melakukan apa yang Dia kehendaki terhadap kita. Dia juga melakukan sesuatu terhadap kita mengikut sangkaan kita terhadapNya.

Apabila sesuatu urusan kita sandarkan dan serahkan segalanya kepada Allah, maka Dia akan menguruskannya mengikut apa yang kita sangkakan. Jika kita bersangka baik, maka baiklah yang Allah akan tentukan, namun jika kita bersangka sebaliknya, maka Allah akan berbuat mengikut apa yang kita sangkakan.


Justeru, kita sebagai hamba, hendaklah sentiasa bersangka baik terhadap Allah dan segala perbuatanNya adalah baik kerana pada hakikatnya apa yang kita nampak baik, belum tentu ianya baik dari pandangan Allah. Marilah sama-sama kita meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah, dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar urusan. Sesungguhnya apa yang Dia tadbir itu jauh lebih baik dan tersangat baik buat kita sebagai hambaNya. Insyaallah

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

PENJARA KITA


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: ‘Dunia itu adalah penjara orang mukmin, dan syurga bagi orang kafir’.

(Riwayat Muslim )


Hadis ini menjelaskan tentang kematian yang hakiki bagi orang mukmin dan orang kafir. Sesungguhnya dunia bukanlah kenikmatan hakiki bagi kita. Ianya hanya nikmat yang tersangat kecil sahaja dan ianya hanyalah kenikmatan bagi orang kafir.

Pada hakikatnya dunia ibarat penjara bagi orang mukmin kerana kehidupan yang penuh dengan peraturan dan larangan yang wajib diikuti. Segala kehendak nafsu tidak boleh diikuti, tidak boleh sesuka hati membuat sesuatu kecuali jika ianya dibenarkan oleh Islam. Manakala bagi orang kafir, dunia inilah kemegahan dan kenikmatan mereka. Apa sahaja yang mereka ingin lakukan tiada batasan dan larangan, tiada sebarang halangan.


Ketenangan dan kebahagiaan terpancar di jiwa orang mukmin yang berada di dunia sekalipun penjara bagi mereka. Ini adalah kerana mereka merasa bahagia di penjara secara maknawi, selamatlah daripada khianat dunia, sentiasa dalam pengawasan PENGAWAL dunia, di atur setiap hari jalan kehidupannya. Semuanya ini nikmat bagi mukmin yang benar, yang menjadi derita hanyalah kepada kita yang tidak pernah sabar dan minta dilepaskan daripada penjara dunia yang sementara ini.

Oleh itu, rasailah kenikmatan penjara dunia yang sementara ini, kerana kita bakal mengecapi nikmat disebaliknya dan hasil daripada derita yang sementara ini, kita bakal dilepaskan pada suatu masa yang dijanjikan dengan menikmati NIKMAT SYURGA sebenar di akhirat nanti. InsyaAllah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

Saturday, May 9, 2009


“Dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan angkuh”
(Surah Isra: Ayat 37)


Ayat di atas menceritakan kepada kita bahwa Allah SWT telah memberi peringatan agar kita tidak merasa bangga diri di atas dunia, iaitu ujub (melihat diri sendiri hebat), kerana sehebat mana jua diri kita pasti akan menyembah bumi bila tiba masanya.

Apabila seseorang manusia berjaya dalam sesuatu urusan, atau memiliki kemampuan yang lebih daripada orang lain kebiasaannya ia akan memiliki perasaan ujub. Namun ianya boleh di atasi dengan selalu menilai diri dengan kekurangan yang ada. Tidak semua manusia memiliki kehebatan, pasti ada kekurangan yang semestinya tidak ada pada ada orang lain pula, tapi ada pada diri kita.

Seharusnya apabila kita diberi kurniaan yang lebih, hendaklah kita memandang bahawa Allah yang berikan, semuanya milik Dia dan semestinya jika ada rasa ujub di hati kita, segeralah mengembalikannya pada Allah, pada Dia sepatutnya kita banggakan kerana Dia suci daripada segala sifat kekurangan, sedangkan kita penuh dengan keabaian. Jarang didapati andai kita memiliki kelebihan zahir mahupun batin, apabila diketahui orang, kita tidak gembira, malah kita sendiri mengharap agar dipuji dan ingin mendengar pujian, hingga kita sentiasa merasa bahagia, gembira dan tidak rasa resah, akan tetapi jika sesekali apabila orang melemparkan kata-kata yang mengurangi kelebihan kita, kita akan cepat menafikan malah merasa marah.

Sifat ujub adalah sifat yang sangat cepat menyambar di hati kita, jika kita sering melihat kebaikan kita tanpa melihat keburukan yang ada, dan ianya juga sifat yang dibenci oleh Allah kerana sifat ini adalah warisan syaitan laknatullah yang merasa diri hebat berbanding Adam AS ketika diperintahkan sujud kepadanya.
Berhati-hatilah dengan diri sendiri, ujub akan bertapak di hati tanpa kita sedari. Ianya sifat yang sukar di pagari dan tersimpan di dalam hati. Siapa pun tidak akan mengetahui apakah kita ujub ataupun tidak, mahupun diri kita sendiri, andai kita sedar, bersegaralah menghina diri dan beristigfar. Itulah tanda Allah sayangkan kita. Wallahualam.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

SEKILAS PANDANG


Sepertimana desas-desus yang di dengari sebelum ini mengenai kabinet baru Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak yang banyak membarisi muka-muka baru daripada barisan kepimpinan parti kompenan Barisan Nasional tidak dapat disangkal. Walaupun penyenaraian ini adalah sebahagian penstrukturan semula kerajaan dengan penambahbaikkan proses ‘delivery’ dan integriti, namun dapat dilihat bahawa ketua Bahagian UMNO Setiawangsa Dato’ Seri Zulhasnan Rafique tidak lagi mengekalkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Setelah bertahun-tahun menyandang jawatan tersebut, kini diberikan laluan jawatan tersebut kepada Dato’ Nong Chik, Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai. Kami di meja penulisan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Seri Zulhasnan Rafique di atas sumbangan beliau selama ini dalam memajukan Bandaraya Wilayah Persekutuan. Kepada Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, diharapkan beliau terus dapat memacu proses pemodenan Bandaraya Wilayah Persekutuan menjadi sebuah bandaraya yang maju.

Selain itu, jika dilihat pada barisan kepimpinan Kabinet Menteri kali ini, didapati bahawa Dato’ Mukhriz Mahathir dan Datuk Razali Ibrahim dipilih menjadi Timbalan Menteri dengan masing-masing di Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Belia Dan Sukan. Walaupun Ketua Pemuda UMNO Malaysia YB Khairy Jamaluddin tidak dilantik untuk menjawat mana-mana jawatan di dalam kabinet, tetapi beliau telah diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri untuk mendekati golongan belia dalam mendapatkan sokongan pada pilihanraya ke-13 nanti. Ini bukan suatu yang pelik bagi seorang Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak dilantik membarisi barisan kebinet, kerana sebelum ini keadaan sedemikian pernah berlaku pada Dato’ Seri Dr Zahid Hamidi sewaktu beliau menjawat jawatan yang sama.

Pelbagai desas-desus dan spekulasi sering diperkatakan tetapi inilah hakikatnya. Semua perlu akur atas yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam menentukan saf kepimpinan negara. Sebagai manusia yang serba kerdil dan lemah ini, kita hanya dapat merancang, kerana sesungguhnya hanya Allah SWT sahaja yang dapat menentukan. Bersama-samalah kita berdoa semoga saf kepimpinan baru ini dapat membawa perubahan kepada negara ke arah ‘Satu Malaysia’ berdasarkan konsep ‘Amar Makruf, Nahi Mungkar’. InsyaAllah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan