Sistem Kewangan Bretton Woods yang mula diperkenalkan pada awal 1940-an, telah diamalkan oleh segenap negara dipelesuk dunia. Sebuah sistem yang bercorak konvensional yang menerapkan polisi tukaran mata wang asing pada kadar yang tetap. Ia diperkenalkan setelah dunia mengalami kegawatan ekonomi ‘The Great Depression’ pada 1930-an.
Sewaktu kegawatan itu, Amerika Syarikat lebih cenderung menguncupkan trend ekonomi mereka yang membawa kejatuhan mendadak ke atas ekonomi dunia. Melalui pengenalan Sistem Kewangan Bretton Woods, pelbagai badan-badan kewangan antarabangsa diwujudkan misalnya International Monetary Fund (IMF) dan International Bank of Reconstruction and Development (IBRD). Badan-badan ini masih beroperasi hingga ke hari ini.
Dalam melalui kemelut ekonomi dunia pada masa kini, Malaysia dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional telah merangka plan bertindak ekonomi. Pelan bertindak ini telah dirangka sepenuhnya berdasarkan langkah-langkah yang diambil kerajaan sewaktu kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 yang lalu. Kemelut yang dialami kini adalah jauh berbeza berbanding pada tahun 1997. Pada ketika itu, dari perspektif mikro, Malaysia mengalami kelembapan ekonomi yang berpunca dari krisis perbankan runcit serta masalah kadar pertukaran mata wang asing. Malaysia, berjaya malalui masalah tersebut dengan memperkenalkan sistem tambatan mata wang asing serta sistem perbankan yang proaktif yang akhirnya membawa keuntungan kepada negara walaupun negara-negara barat menganggapnya sebagai sistem yang ortodoks dan primitif.
Keberkesanan sistem yang diamalkan ketika itu dapat dilihat dengan penurunan defisit pinjaman negara dari 5.5% pada tahun 1998 ke tahap 3.5% pada tahun 2006. Penurunan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat dengan mengurangkan beban rakyat serta merangsang ekonomi negara.Semenjak kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 itu, Malaysia menegaskan bahawa dunia kini perlu mempunyai sistem ekonomi baru yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dunia. Malah, Malaysia juga turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap International Financial Architecture yang dianggap tidak adil dan professional sewaktu krisis ekonomi 1997.
Kini sekali lagi dunia bakal menghadapi kemelesetan ekonomi. Tahun 2008 dan seterusnya akan menjadi tahun mencabar bagi Malaysia dan dunia bagi menghadapi krisis berkenaan yang dijangkakan berpanjangan sehingga 2010. Satu sistem ekonomi yang liberal dan berkesan perlu dibentuk bagi menangani masalah ini. Pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Kewangan 1 YB Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak, yang meluluskan penggunaan RM 7 billion daripada hasil subsidi minyak bagi menangani krisis ekonomi. Jumlah peruntukan itu akan dibelanjakan dalam masa terdekat bagi mengecapi kadar pertumbuhan negara 3.5%. Penekanan ini lebih diberikan kepada sektor pembangunan dengan peruntukan RM 2.5 billion untuk merangsang ekonomi serta menjana peningkatan modal insan ‘human capital’.
Malaysia telah mula menerima tempias dari krisis ekonomi ini. Ia dapat dilihat dengan peningkatan kadar inflasi semasa negara sebanyak 8%. Walaupun peningkatan itu berlaku disebabkan oleh peningkatan mendadak harga minyak dunia tempoh hari, tetapi ratio peratusan peningkatan inflasi bulanan negara adalah kecil sebanyak 0.2%. Kerajaan juga telah bersiap sedia dalam menghadapi peningkatan kadar pengangguran pada tahun ini yang dianggarkan sebanyak 4%. Walaupun terdapatnya peningkatan tersebut, kerajaan tetap menjaga kebajikan rakyatnya dengan memperkenalkan ‘dana latihan’ sebanyak RM 300 juta untuk digunakan oleh orang ramai di dalam bidang latihan, kemahiran dan kerjaya.
Defisit negara juga mungkin akan bertambah kepada 4.8% berdasarkan cukai petroleum yang berkurangan pada tahun ini. Walaupun begitu, dengan kadar penjimatan negara yang tinggi setiap tahun sebanyak 3.7% yang membolehkan negara mampu membayar kembali pinjaman yang dibuat. Keadaan ini amat berbeza dengan Amerika Syarikat yang perlu meminjam RM 4 billion setiap hari bagi mengimbangi ekonomi mereka disebabkan kadar penjimatan negaranya yang rendah sebanyak 1%.
Apa yang perlu bagi Malaysia kini adalah mengamalkan sistem ekonomi yang efisen dan liberal. Sistem Perbankan dan Kewangan Islam adalah jawapan ke atas masalah ekonomi yang dihadapi kini. Peningkatan jumlah transaksi Sistem Perbankan dan Kewangan Islam dunia yang mencecah USD 1 trillion tahun ini menunjukkan keberkesanannya. Di Malaysia, Sistem Perbankan dan Kewangan Islam telah diamalkan dan beroperasi. Dengan NPL sebanyak 2.5%, kepelbagaian ekuiti, dana pelaburan yang besar serta produk-produknya yang berteraskan fundamental Islam yang tidak terdedah kepada elemen-elemen yang menganggu keadaan ekonomi, menunjukkan kesesuaiannya untuk dipraktik oleh dunia.
Malaysia selaku negara Islam dan ahli negara OIC (Organization of Islamic Conference) perlulah menjadi negara contoh dalam menggalakkan negara Islam yang lain menggunakan Sistem Perbankan dan Kewangan Islam. Dengan keahlian negara-negara OIC sebanyak 57 negara, ia dapat memudahkan Malaysia bagi mempromosikan Perbankan Islam secara dwi operasi bagi menggantikan sistem kewangan lama yang bersifat konvensional. Selain itu, negara-negara Islam juga perlulah mempunyai matawangnya sendiri dalam urusan dan transaksi perdagangan. Idea YB Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini yang menyarankan penggunaan ‘Dinar Islam’ dikalangan negara-negara Islam di dalam akitiviti perdagangan perlulah dikaji kembali. Ini adalah perlu bagi tujuan merangsang aktiviti perdagangan serta meningkatkan kualiti dan kuantiti perdagangan dikalangan negara-negara OIC yang kini hanya sebanyak 8%.
Walaupun Malaysia kini negara pengeksport ke-16 terbesar di dunia secara total yang menyumbang 20% kepada pendapatan negara, kepelbagaian pasaran perlulah diterokai terutamanya ke atas negara-negara yang sedang membangun seperti negara India dan China yang ekonominya dijangka meningkat 8% pada tahun hadapan. Pada ketika ini, nilai eksport Malaysia ke negara-negara ini hanyalah 5% berbanding eksport kita ke Amerika Syarikat sebanyak 15%. Dasar kepelbagaian ini perlulah dilaksanakan supaya ekonomi Malaysia tidak terikat kepada turun naiknya ekonomi Amerika Syarikat.
Malaysia dibawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional haruslah melakukan yang terbaik bagi mengemudi negara ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan. Sememangnya, keadaan kemelesetan ekonomi ini mungkin akan mencengkam kehidupan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia perlulah bersatu hati bersama-sama dalam mengharungi hari-hari mendatang yang serba mencabar ini. Renung-renungkanlah petikan kata Sasterawan Negara Dato’ Usman Awang ‘Di atas runtuhan kota melaka, kita bina jiwa merdeka,’. Insyaallah sama-sama kita lalui.
KHAIRUL IDZWAN IDRIS
Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan
2 comments:
Assalamualaikum....
hai khairul..tahniah!kerana telah membuat 1 percubaan n kelainan baru dalam menyebarkan maklumat tentang ekonomi kita dr dulu hingga kini..dengan adanya pendekatan baru ini..kita dapat membuka minda bukan saja dari peringkat pemuda malah di peringkat puteri,wanita,cawangan dan juga bahagian mengenai ilmu pengetahuan tentang ekonomi negara kita dan di peringkat dunia. Insyallah di masa akan datang kita sama-sama berusaha mengubah persepsi masyarakat tentang kerajaan Barisan Nasional yang banyak membantu rakyat demi kepuasan semua pihak.Semoga Pemuda Setiawangsa akan terus maju dan dapat membuat perubahan baru untuk bakal 'Pewaris-Pewaris Bangsa' yang akan menerajui pemerintahan yang akan datang..Salam Perjuangan Dari Puteri UMNO Setiawangsa...
-Bersatu Bersetia Berkhidmat-
Tahniah Bro, good job... great ideas.... Pemuda Setiawangsa memang perlukan ahli seperti saudara, I am proud to know you....
Post a Comment