Sunday, February 15, 2009

MENGHARUNGI CABARAN GLOBALISASI

Asas kepada kekuatan daya saing satu kumpulan adalah kekuatan ilmu pengetahuan. Jika kaum bumiputera tidak mampu untuk menguasai ilmu pengetahuan sains dan teknologi, adalah sukar bagi kerajaan untuk mengharapkan sebarang kejayaan yang gemilang dapat dihasilkan walaupun limpahan bantuan kewangan disalurkan. Mereka hanya akan menjadi golongan peniaga subsidi dan tidak mungkin golongan ini boleh diharapkan bagi mempertahankan keagungan kaum bumiputera. Kekuatan kaum bumiputera masih rapuh dan kemampuan untuk memiliki pegangan saham sejumlah 30 peratus adalah satu yang sangat sukar dicapai. Walaupun sasaran matlamat 30 peratus pemilikan saham tersebut dibuat 12 tahun yang lalu, namun pencapaian hanya sekitar 20 peratus. Keadaan ini lebih banyak mendedahkan persoalan tentang keupayaan kaum bumiputera dalam melaksanakan tugas, baik sebagai seorang ahli perniagaan, ahli akademik mahupun ahli politik.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

HIDUP UNTUK WANG ATAU WANG UNTUK HIDUP

Hidup untuk wang atau wang untuk hidup, satu persoalan yang menarik untuk direnung. Malahan, tidak keterlaluan jika dirumuskan bahawa persoalan ini merupakan satu persoalan fundamental yang mencorakkan kehidupan harian, terutamanya dalam suasana masyarakat moden hari ini.

Sekali pandang, persoalan ini merujuk kepada sama ada manusia hidup semata-mata untuk mendapatkan wang atau sebaliknya, menggunakan wang untuk hidup. Wang hanyalah angka-angka. Adakah manusia hidup bergelumang dengan, mengabdikan diri untuk mencari angka atau adakah manusia menggunakan angka ini sebagai alat untuk memudahkan kehidupan mereka? Interpretasi sedemikian wujud kerana menjadi lumrah manusia suka merujuk kepada apa-apa yang tersurat tanpa menyelidiki apa-apa yang tersirat. Implikasinya, persoalan ini disalah tafsir kerana wang dalam persoalan ini, tidak membawa angka, duit atau syilling.

Wang secara simboliknya digunakan untuk mewakili keperluan manusia. Mungkin boleh diperincikan sama ada manusia hidup untuk memenuhi keperluan mereka sahaja ataupun sebenarnya kepeluan ini ialah mekanisme untuk manusia meneruskan kehidupan mereka. Sekiranya seseorang itu berpendapat hidup ini adalah untuk wang atau dalam erti kata sebenar keperluannya, dia akan mengabdikan seluruh kehidupannya untuk memenuhi keperluannya tanpa menyedari fungsi keperluan itu sendiri. Implikasinya, besar kemungkinan seseorang itu berjiwa materialistik yang mempunyai kelemahannya tersendiri.

Manusia dapat hidup jika keperluannya dapat dipenuhi. Wang digunakan untuk memudahkan proses mendapat keperluan. Oleh hal yang demikian, persoalan wang untuk hidup atau hidup untuk wang harus merujuk kepada maksud tersiratnya, iaitu sama ada hidup manusia ini harus diabdikan untuk memenuhi keperluan atau keperluan itu hanyalah satu mekanisme untuk membolehkan kehidupan diteruskan.

Manusia memang banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk mencapai keperluan yang dihajati. Dalam konteks ini, manusia memang hidup untuk wang. Untuk hidup, manusia perlu makan, minum dan berpakaian. Manusia perlu berusaha untuk mendapatkannya. Untuk keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan penyempurnaan kendiri pula, manusia tetap perlu berusaha untuk memenuhi mereka.

Walau bagaimanapun, apakah pula gunanya semua keperluan ini tanpa hidup? Semua keperluan ini perlu dipenuhi untuk membolehkan seseorang itu terus hidup. Manusia sendiri rela untuk mengabdikan diri bagi memenuhi segala keperluan demi membentuk satu kehidupan yang berwarna-warni lagi bermakna.

Manusia memang hidup untuk wang dan wang pula adalah untuk hidup. Masing-masing memainkan peranan untuk membina satu kitaran hubungan yang saling melengkapi. Hanya dengan pemahaman sedemikianlah, manusia akan sentiasa dapat mengimbangi jiwa mereka. Keseimbangan ini akan menyedarkan seseorang tentang kepentingan untuk memenuhi keperluan manusia, tetapi pada masa sama kita tidak boleh membenarkan keperluan itu memakan diri.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

KE ARAH MENCAPAI WAWASAN 2020

Asasnya ialah negara mempunyai satu matlamat iaitu melalui satu Wawasan 2020 yang ditetapkan. Malaysia bercita-cita menjadi sebuah negara yang maju. Masyarakat akan digerakkan untuk menjadi satu masyarakat yang maju. Masyarakat dalam tahun 2020 adalah sebuah masyarakat yang merupakan network society di mana ciri pekerjaan dan hidup akan lebih berbeza daripada apa yang terdapat ada masa ini. Kita juga merupakan satu masyarakat global. Belia kita menggunakan telefon bimbit, dan kita sendiri mengunjungi fastfood outlets seperti mana orang di negara lain. Brand yang digunakan adalah brand universal.

Untuk mencapai status negara maju, kita perlu memenuhi beberapa kriteria. Yang menjadi persoalan ialah sama ada kita akan mencapai petanda itu padahal setakat ini kita belum lagi mencapai ciri yang ada pada negara maju pada masa kini. Apabila tiba tahun 2020, kita terpaksa mencapai satu pencapaian negara maju apabila negara maju pada masa ini akan maju dengan lebih jauh ke hadapan.

Kita membuat andaian bahawa kita akan mencapai ciri-ciri atau petanda negara maju pada tahun 2020. Ciri-ciri dalam Wawasan 2020 telah digariskan. Wawasan 2020 ini akan menentukan dua dimensi iaitu dimensi soft environ dan dimensi teknologi. Dimensi teknologi ini ibarat perkembangan ICT, alat-alat komunikasi, petanda ekonomi, perkembangan teknologinya, sementara dimensi soft environ ini pula ialah dari segi perkembangan masyarakat yang lebih humanistic seperti masyarakat yang prihatin, masyarakat yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan.

Kita dapati jumlah mereka yang menggunakan dadah sudah dan akan meningkat, rompakan dan rogol begitu banyak dilaporkan. Pengangguran harus diatasi. Displin sosial dikalangan ahli masyarakat akan terus berlaku. Masalah sosial masyarakat mungkin menghadkan pencapaian kita untuk mencapai Wawasan 2020. Komunikasi media massa memainkan peranan yang kurang berkesan jika dibandingkan dengan peranannya pada masa yang lalu kerana peranannya akan di ambil alih oleh blog dan jenis internet lain, tetapi bentuk komunikasi yang baru akan muncul untuk memandukan negara mencapai matlamatnya. Itu pun dalam aspek dimensi teknologi. Pada aspek kemanusiaan, masyarakat kita perlu dididik dan diasuh dengan lebih mendalam lagi. Jika tidak, kita laksana seekor binatang yang tidak tahu keindahan sekuntum bunga. Begitulah rakyat Malaysia yang tidak akan mengetahui keindahan teknologi yang moden yang ada dalam tangan kita dalam tahun 2020 ketika negara mencapai status negara maju. Moga-moga peranan media massa dan bentuk komunikasi yang lain boleh memainkan peranan untuk memupuk nilai kemanusiaan menjelang tahun 2020. InsyaAllah.


KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

Tuesday, February 10, 2009

KURANGKAN POLITIK PESATKAN RANGSANGAN EKONOMI

Ada anggaran mengatakan seramai 200,000 pekerja sama ada sudah hilang pekerjaan atau tidak lagi mempunyai pekerjaan sepenuh masa atau tetap dan 100,000 lagi dalam ancaman. Pekerja yang hilang pekerjaan atau tidak lagi mendapat gajian penuh akan mencetuskan reaksi berangkai (chain reaction) – tiada pekerjaan tiada pendapatan, tiada pendapatan tiada perbelanjaan, tiada perbelanjaan tiada pengeluaran dan tiada pengeluaran kilang terpaksa ditutup menyebabkan lebih ramai lagi pekerja yang akan menganggur.

Anggaran pengangguran yang sangat membimbangkan ini wajib diberi perhatian kerana ia mungkin tepat. Ini kerana bukan semua pekerja berdaftar, bergaji tetap atau mempunyai majikan. Justeru itu adalah sangat penting ekonomi dalam negara (domestic economy) diberi rangsangan agar kepenggunaan boleh dikekalkan pada tahap yang tinggi kerana kepenggunaan (consumption) memberi kesan langsung kepada pengeluaran (production) dan seterusnya kepada guna tenaga (employment).

Dalam suasana ekonomi global yang lembap beginilah kerajaan perlu menambah perbelanjaan awam (public expenditure) bagi mengimbangi perbelanjaan sektor swasta yang berkurangan. Oleh itu, Pakej Rangsangan Ekonomi (Economic Stimulus Package) kedua perlulah dilaksanakan secepat mungkin. Pakej itu hendaklah cukup besar, dengan tujuan yang jelas dan memberi kesan yang juga jelas (large, purposeful and impactful).

Setiap ringgit dibelanjakan wajib dipantau pengalirannya agar sampai kepada matlamat yang dituju, iaitu rakyat jelata dan pengguna di peringkat paling bawah. Sebahagian peruntukan pakej kedua ini wajib ditujukan dan diberikan terus kepada pengguna, khasnya golongan terancam seperti ibu tunggal, rakyat miskin dan mereka yang menjaga ibu bapa yang tua.

Selain “memaksa” sistem bank yang nampaknya semakin enggan mengeluarkan pinjaman agar tidak menjadi kurang ajar, kerajaan wajar memikirkan kemungkinan mengambil alih tabungan sistem bank jika ia terus degil. Kerajaan juga boleh menambah kecairan dan mengurangkan lagi kos modal dengan mengeluarkan wang (dana) daripada pelbagai tabung pembangunan awam dan swasta seperti tabung tanam semula getah dan kelapa sawit, tabung penyelidikan, tabung pembangunan sumber manusia dan tabung pendidikan tinggi.

Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan dan bakal Perdana Menteri, memikul tanggungjawab yang sangat besar dan berat. Suka atau tidak, beliau perlulah mencari nasihat dan mengakui kepakaran dan pengalaman orang seperti Dr Mahathir, Daim Zainuddin, Thong Yaw Hong, Zeti Akhtar Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah, Mustapha Mohamed, Lin See Yan dan Ramon Navaratnam dalam menangani krisis ekonomi.

Apa yang menyebabkan ekonomi Malaysia nampak tidak menyerlah pada beberapa tahun kebelakangan ini berpunca daripada krisis keyakinan. Pelabur dan pengguna kurang yakin dengan dasar-dasar dan projek-projek kerajaan serta perlaksanaannya. Bagi Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak akan ada bulan madu atau waktu percubaan. Beliau terpaksa bertindak segera dan bekerja keras mengembalikan keyakinan umum terhadap pengurusan dan pentadbiran ekonomi negara.

Apa pun kedudukannya, kita semua amat berharap kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak terperangkap dalam kemelut politik sehingga lalai menangani krisis yang sangat menakutkan ini. InsyaAllah

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

Friday, February 6, 2009

SEKILAS PANDANG PEMIMPIN YANG DI CARI

Pergerakan Pemuda sebagai wadah bagi melahirkan pemimpin generasi depan perlu dipimpin oleh pemimpin yang berkualiti. Lawan kepada berkualiti ialah tidak kualiti ataupun sampah seperti yang sering diperkatakan dalam jargon komputer, suatu prinsip G-I-G-O ‘Garbage In Garbage Out’, yakni kalau dipilih sampah maka hasilnya juga sampah. Oleh itu, dalam memilih pemimpin pada pendapat saya kualiti perlu ada sebagai pewaris dan teraju Wawasan 2020 ialah;

1.Berani berjuang dan menegur kepimpinan secara membina
2.Berilmu dan meningkatkan keilmuan
3.Berakhlak dan beradab
4.Berprinsip
5.Bersih dan dilihat bersih
6.Berwawasan
7.Buat seperti bercakap

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

KE ARAH MEMBENTUK MASYARAKAT PERDAGANGAN DAN PERINDUSTRIAN BUMIPUTERA (MPPB)

Sepertimana dalam bidang politik yang mana politik UMNO (Melayu) menjadi teras kestabilan politik Malaysia, kerajaan dalam kesinambungan DEB melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) berhasrat mewujudkan MPPB ini sebagai teras ekonomi dan perdagangan negara. Suasana politik yang stabil dengan pembangunan infrastrukur yang komprehensif dan sokongan logistiks yang canggih terutama dalam bidang telekomunikasi telah menarik ribuan juta pelabur asing ke Malaysia.

Namun dalam perancangan jangka panjang, kerajaan berhasrat membentuk MPPB ini supaya dapat ditingkatkan keluaran industri tempatan (Indigenous Industrialists) yang bersifat kekal dan taat setia kepada negara. Matlamat kita ialah barangan atau keluaran dari rakyat Malaysia daripada kilang Malaysia, teknologi hasil R&D tempatan untuk pasaran tempatan dan dunia yang diperdagangkan oleh rakyat Malaysia.

Siapa lagi kalau bukan lulusan-lulusan Universiti kita yang diharapkan menjadi teras MPPB ini? Oleh itu, wajarlah siswa-siswa kita mengubah sikap dari mencari kerja kepada menjadi usahawan, dari mengejar sekeping kertas diploma atau ijazah kepada pengamal ilmu yang dipelajari dari kampus dengan membuka syarikat-syarikat atau kilang-kilang kecil. Alhamdulilah, semakin ramai pensyarah-pensyarah dan siswazah-siswazah menceburi bidang perniagaan dan perkilangan.

Sesungguhnya itulah contoh terbaik dalam kelangsungan reformasi pendidikan negara kita. Mereka yang sudah mencapai ilmu tertinggi dalam bidang akademik dan professional perlu diransang supaya turun padang untuk mengamalkan ilmu masing-masing. Mereka sepatutnya tidak dibiarkan leka berkhayal di menara gading atau dalam tembok-tembok indah institusi penyelidikan sahaja. Mengamalkan ilmu tidak cukup dengan hanya membuka perniagaan sebagai ‘consultants’. Sekadar menjadi jururunding adalah terlalu selesa tanpa menghadapi risiko hutang bank atau penolakan produk baru dalam pasaran.

Dengan lain perkataan, peningkatan dalam revolusi pendidikan kita hendaklah memanjangkan daripada tradisi mengisi ilmu di dada kepada ilmu yang ada. Fikir-fikirkan.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan

HARAM ATAU HARUS? PELABURAN ASN, ASB DAN PEMBANGUNAN TANAH WAKAF

Pelaburan di dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), termasuk pembayaran dividen dan bonusnya, adalah harus. Ini adalah seperti dinyatakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Oleh itu, umat Islam tidak perlulah berasa ragu-ragu mengenai status pelaburan kedua-dua skim berkenaan.

Selain itu, Majlis Fatwa Kebangsaan juga turut memutuskan pembangunan secara komersial membabitkan tanah wakaf yang diwasiatkan untuk pembinaan masjid dan surau adalah harus. Tanah wakaf ini sekiranya dimanfaatkan untuk pembangunan, mampu menjana pendapatan ekonomi negara, sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Malah pembangunan tanah wakaf seperti masjid dengan tambahan projek pembangunan dan penambahbaikan dengan jaminan harta wakaf itu kekal adalah diharuskan dalam Islam. Bagaimanapun, syarat pembangunan mesti merujuk kepada niat asal pewakaf bagi memastikan kehendak mereka ditunaikan sekali gus untuk memberi kepuasan kepada semua pihak. Dengan penjelasan ini diharapkan ia dapat memberi sedikit sebanyak informasi yang difikirkan berguna kepada seluruh umat Islam hendaknya. InsyaAllah.

KHAIRUL IDZWAN IDRIS

Timbalan Pengerusi
Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiawangsa
Wilayah Persekutuan